
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah hari semalam dan disedari seorang juruteknik TM selepas ternampak empat lelaki berpakaian syarikat berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Lelaki itu (juruteknik TM) menghampiri empat lelaki yang sedang memotong kabel talian atas tersebut dan bertanyakan kerja yang dilakukan mereka, sebelum semuanya tiba-tiba melarikan diri. Namun, seorang daripadanya berjaya ditahan juruteknik terbabit,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata suspek 20-an yang ditahan itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan polis giat mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan membabitkan kerugian kabel kira-kira RM5,000.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi IPD Seberang Perai Tengah di talian 04 5382222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Kejadian itu tular di media sosial selepas dua video selama 14 dan 20 saat dimuat naik seorang pemilik akaun X hari ini.