Kutipan tol bagi pelawat Genting Highlands tak lama lagi

Kutipan tol bagi pelawat Genting Highlands tak lama lagi

Jurucakap syarikat mengendalikan jalan di Genting Highlands berkata, bayaran hanya akan dikutip daripada pemandu ketika naik ke resort itu.

Jurucakap Lingkaran Cekap berkata Genting Malaysia menyelenggara jalan di tanah tinggi itu sejak membinanya pada pertengahan 1960-an.
PETALING JAYA:
Kutipan tol akan dikenakan kepada pemandu ke Genting Highlands tidak lama lagi, menurut jurucakap syarikat mengendalikan jalan di tanah tinggi itu.

Baru-baru ini, gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya tular, dengan warganet membuat spekulasi ia mungkin plaza tol.

Sin Chew Daily memetik jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd, berkata syarikat terbabit akan mengendalikan tol itu, dengan pemandu hanya dikenakan bayaran ketika naik ke Genting Highlands, bukan semasa turun dari tanah tinggi.

Tetapi, jurucakap itu tidak dapat mengesahkan bila dan kadar tol yang akan dikenakan.

Katanya, Genting Malaysia Bhd menyelenggara jalan di tanah tinggi itu sejak membinanya pada pertengahan 1960-an.

“Lingkaran Cekap bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk menyelenggara cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, menyelenggara sistem kumbahan serta lampu jalan, dan paling penting menyelenggara jalan.”

Beliau menepis dakwaan kutipan tol pada kadar RM2.50 dan RM3 mulai Jun 2024 kerana lebih banyak perbincangan perlu diadakan sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Katanya, kadar tol akan mengambil kira kos dan kerja penyelenggaraan untuk jalan itu.

Berdasarkan laporan tahunan 2022, Genting memiliki 49.4% kepentingan dalam Lingkaran Cekap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.