Polis tahan pemandu lori kes kemalangan Plaza Tol Bukit Kajang

Polis tahan pemandu lori kes kemalangan Plaza Tol Bukit Kajang

Suspek dikesan mempunyai dua rekod jenayah lampau, satu rekod kesalahan dadah dan mempunyai empat saman trafik.

kemalangan tol
Sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek merempuh beberapa kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang semalam hingga menyebabkan seorang bayi lelaki maut di lokasi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Kemalangan membabitkan lori muatan barangan lusuh dan beberapa kenderaan yang meragut nyawa bayi lelaki di Plaza Tol Bukit Kajang semalam berpunca akibat kegagalan brek.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pemandu lori berusia 42 tahun itu telah direman bagi membantu siasatan.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, satu rekod kesalahan dadah dan mempunyai empat saman trafik.

“Ujian saringan awal air kencing dan alkohol dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu negatif penggunaan dadah dan tidak berada bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu suspek di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dari arah Semenyih ke Putrajaya mengalami masalah brek ketika tiba di lokasi kejadian.

Katanya, ia menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menunggu giliran di lorong ke lapan dan ke sembilan di Plaza Tol Bukit Kajang.

“Kejadian menyebabkan seorang bayi lelaki berusia 1 tahun 4 bulan meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh lagi mangsa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, Serdang dan KPJ Kajang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Raziman Rasid dan talian 019-4565502 atau berhubung dengan balai berhampiran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.