
Rozmi Ismail dari Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia berkata pendekatan ‘the less you delay, the less you pay’ hanya akan mendorong pemandu membayar lebih cepat untuk menikmati potongan, bukan kerana benar-benar insaf.
Beliau berkata dasar itu memang berkesan dari sudut ekonomi untuk untuk meningkatkan kutipan hasil dengan lebih cepat, kerana ramai pemandu akan segera menjelaskan saman untuk mendapat diskaun.
“Namun, impak terhadap perubahan tingkah laku jalan raya dijangka sangat kecil,” kata pakar di Universiti Kebangsaan Malaysia ini kepada FMT.
“Pemandu akan fikir, ‘tak apa, aku langgar undang-undang, aku bayar awal dapat diskaun’. Jadi, kesedaran takut kepada undang-undang hanya sementara.”
Rabu lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata kompaun trafik dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis akan diselaraskan bermula 1 Jan 2026, di bawah sistem baharu yang mengurangkan kadar denda jika dibayar dalam tempoh tertentu.
Ia dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘the less you delay, the less you pay’ dan menggantikan kempen ad-hoc tawaran diskaun sebelum ini.
Di bawah struktur baharu, diskaun 50% akan diberikan untuk pembayaran yang dibuat dalam tempoh 15 hari pertama, dan 33% antara hari ke-16 hingga hari ke-30. Tiada diskaun ditawarkan dari hari ke-31 hingga hari ke-60.
Rozmi mencadangkan satu kajian impak selepas enam bulan pelaksanaan bagi menilai sama ada kadar kesalahan dan kemalangan benar-benar menurun.
Beliau berpandangan perubahan tidak akan ketara tanpa penguatkuasaan ketat.
“Saya yakin jumlah saman tidak akan turun. Kalau penguatkuasaan tidak dipertingkat, pemandu tetap dengan sikap lama iaitu langgar dulu, bayar kemudian,” katanya.
Rozmi menjelaskan keberkesanan dasar keselamatan jalan raya terletak pada tiga komponen utama iaitu manusia, penguatkuasaan, dan kenderaan.
Tanpa penguatkuasaan yang tegas dan konsisten, sistem baharu itu hanya memberi keuntungan jangka pendek kepada kerajaan tanpa mendidik pemandu.
“Kalau pemandu masih boleh bayar diskaun dan lepas, dia tak akan rasa bersalah. Itu yang saya bimbang… dasar ini boleh jadi ‘lesen’ untuk terus melanggar undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Law Teik Hua, berpandangan sistem diskaun berjadual itu lebih berfungsi sebagai alat pentadbiran berbanding pendidikan.
Beliau berkata dasar itu menggunakan prinsip psikologi ‘hyperbolic discounting’, di mana individu lebih terdorong untuk mengelak kerugian kecil segera berbanding menanggung kos besar pada masa depan, sekali gus mendorong pembayaran saman lebih cepat.
“Ia berkesan untuk memastikan saman dibayar, bukan untuk mencegah kesalahan. Ia mengajar kepatuhan melalui kepentingan diri kewangan, bukan melalui kefahaman tentang keselamatan jalan raya,” katanya.
Law menegaskan dasar baharu itu dikhuatiri tidak efisien tanpa penguatkuasaan konsisten serta kempen pendidikan awam berterusan, bagi mengelak ia disalah tafsir sebagai ruang untuk melanggar undang-undang selagi mampu membayar.
“Denda yang dibayar lebih baik daripada denda yang diabaikan, tetapi matlamat utama tetap perlu untuk mencegah kesalahan itu daripada berlaku sama sekali,” kata pakar di Universiti Putra Malaysia ini.