Budak tercampak dari kereta, polis cari pemilik kenderaan

Budak tercampak dari kereta, polis cari pemilik kenderaan

Kejadian tular itu dikatakan berlaku di lampu isyarat berdekatan Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu petang semalam.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang kanak-kanak tercampak dari sebuah kenderaan sebelum dilanggar dua kereta. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Polis Kelantan sedang mengesan pemilik kenderaan berhubung kes kanak-kanak tercampak dari sebuah kenderaan dalam kejadian di lampu isyarat berdekatan Jalan Sultan Yahya Petra pada 5.42 petang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Zaki Harun, berkata insiden berkenaan dipercayai akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki kanak-kanak itu untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup kemas serta tidak memastikan kanak-kanak berkenaan memakai tali pinggang keledar.

“Kami dalam usaha mengesan kenderaan yang terlibat serta kanak-kanak itu dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam sidang media di IPK Kelantan.

Kejadian itu tular menerusi satu rakaman video berdurasi satu minit satu saat di media sosial sejak semalam.

Rakaman itu menunjukkan seorang kanak-kanak yang tercampak dari sebuah kereta sebelum dilanggar dua kereta.

Kanak-kanak itu cuba bangun untuk berlari sebelum diselamatkan penunggang motosikal yang membawanya ke tepi jalan.

Menurut Zaki, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain meminta orang ramai yang melihat kejadian, pemandu kenderaan terlibat dan perakam video tampil membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.