Gaduh dengan rakan, lelaki Rohingya dipercayai maut ditikam

Gaduh dengan rakan, lelaki Rohingya dipercayai maut ditikam

Mangsa dijumpai mati di kebun jagung berhampiran rumah sewa suspek di Kampung Melor Lama, Kota Bharu.

Menurut polis, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan masih dijalankan. (Gambar fail)
KOTA BHARU:
Seorang lelaki etnik Rohingya ditemui maut dalam sebuah kebun jagung dipercayai ditikam oleh rakannya selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Melor Lama, di sini, hari ini.

Mangsa dijumpai mati di kawasan kebun jagung berhampiran rumah disewa oleh suspek itu pada sekitar 8.30 pagi.

Jiran suspek, Tengku Nur Ayuni Tengku Ismail, 29, berkata mangsa dipercayai menaiki basikal datang ke rumah yang disewa suspek pada waktu solat Subuh.

“Pada 8 pagi, saya terdengar bunyi bising orang bergaduh dalam rumah selama 10 minit. Kemudian keadaan senyap seketika, kira-kira 8.30 pagi, saya melihat suspek memegang sebilah pisau yang penuh dengan darah di kebun jagung yang terletak di belakang rumah sewanya.

“Suspek kemudian berdiri di hadapan rumah sewanya dalam keadaan bingung dan jiran-jiran meminta dia meletakkan pisau berkenaan sebelum kami menghubungi polis,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Seorang jiran, Siti Asmak Mohd Zain, 27, berkata suspek menyewa rumah tersebut sejak tiga bulan lalu dan mangsa juga pernah menyewa rumah berkenaan sebelum berpindah ke rumah lain.

“Rumah ini didiami dua keluarga. Suspek tinggal bersama isterinya, selain itu rumah berkenaan turut didiami satu lagi pasangan suami isteri bersama seorang anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Zaki Harun, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.