
Skim BNPL tidak lagi eksklusif bagi pembelian besar seperti kereta, perkakasan rumah, dan perabot.
Kini, pengguna boleh menangguhkan pembayaran bagi pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan, baik makan malam mewah mahupun peranti keluaran terbaru.
Perancang kewangan Kelvin Goh berkata, kempen pendidikan mesti disasarkan pada kumpulan yang terhad celik kewangannya, terutama golongan belia yang baru menceburi pasaran kerja.
“Kempen ini boleh diperkenalkan pada peringkat universiti dan diwajibkan kerana pelajar tinggal hanya beberapa tahun sahaja lagi sebelum masuk ke pasaran kerja dan perlu bersedia menanggung tanggungjawab kewangan,” katanya kepada FMT.
Goh memberi amaran, penggunanya terutama belia terdedah kepada skim BNPL yang menggalakkan belian gerak hati (impulse buying) dan keinginan segera, menjadikan sukar bagi mereka mengasingkan sejumlah wang untuk mencapai sasaran kewangan jangka panjang.
“Golongan belia perlu belajar kepentingan menyimpan wang, berbanding membuat pinjaman bagi pembelian besar.
“Jika anda perlu bayar secara ansuran untuk membeli barang, ini bermakna anda belum mampu lagi,” katanya.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam semakan kestabilan kewangan bagi separuh kedua 2022 melaporkan, 44% pengguna BNPL berusia antara 18 hingga 30 tahun
Lebih 80% berpendapatan kurang RM3,000, menjadikan mereka lebih terdedah kepada tekanan kewangan.
Selain itu, BNM mendapati bayaran tertunggak pengguna BNPL untuk suku keempat 2022 meningkat 17%, berbanding 7% bagi suku keempat tahun sebelumnya.
BNPL di Malaysia dijangka merekod pertumbuhan pengguna baharu tahunan 35.4% antara 2022 dan 2028, dengan nilai kasar barangan meningkat daripada USD625 juta (RM2.66 bilion) pada 2021 kepada USD6.89 bilion (RM29.4 bilion) menjelang 2028.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Paul Selva Raj menggesa lebih banyak dana dalam Belanjawan 2024 diperuntukkan bagi program celik kewangan melibatkan pekerja muda.
Goh dan Selva Raj juga menyeru kerajaan meningkatkan pengawasan terhadap skim BNPL bagi mengelak sistem tersebut dimanipulasi penyedia kredit dan pengguna.
Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) memberitahu FMT, pihaknya sedang memuktamadkan Akta Kredit Pengguna (CCA), dijangka dibentang di Parlimen menjelang hujung tahun ini.
Akta itu akan mengawal selia penyedia kredit bukan bank, termasuk pihak menawarkan skim BNPL, syarikat pemfaktoran dan pemajakan bukan bank, termasuk pembeli pinjaman terjejas dan agensi pengutip hutang. Ketika ini, hanya skim BNPL ditawarkan bank sahaja dikawal selia.