
Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu memang dibincangkan secara dalaman oleh KDN dan dalam pengetahuannya.
“Sudah tentu kita akan berusaha mencari ikhtiar dan jalan keluar bagi mencari jawapan bagi perkara itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan KDN.
Bagaimanapun, ketika ditanya adakah perkara itu akan diumumkan pada Belanjawan 2024 esok, Saifuddin enggan mengulas.
“Kita akan lihat balik sebab kita sudah ‘conclude’ permohonan bajet kita yang ada dua bahagian (iaitu) emolumen; operasi dan pembangunan.
“Jadi kita akan lihat di situ nanti sebab saya tak mahu buat ‘premature announcement’ ke apa-apa,” katanya.
Pada 7 Okt lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, mendedahkan tangga gaji permulaan bagi anggota polis berpangkat konstabel pada masa ini di bawah kadar paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.
Beliau berkata, disebabkan itu polis mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya skim gaji permulaan bagi konstabel (YA1) diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.
Sementara itu, mengenai status Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), Saifuddin berkata ia dikuatkuasakan pada Julai lalu namun buat masa ini KDN dalam proses melantik ahli suruhanjayanya.
“Sebab ia membabitkan perjawatan dan tatacaranya. Kita akan umumkan apabila sudah dimuktamadkan. Serentak dengan itu, ia akan berfungsi sebagaimana ia sepatutnya berfungsi,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan selepas diumumkan pada 10 Jan lalu, permohonan bagi pendatang asing tanpa dokumen menerusi Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK), ditutup pada 31 Dis ini dan tidak akan disambung.
Beliau berkata, setakat ini lebih 700,000 PATI mendaftar bagi mengisi keperluan tenaga kerja untuk lima sektor kritikal.
“Apabila kita tamatkan (program) rekalibrasi bermula 31 Dis ini, mereka tidak lagi boleh mendaftar, kita hanya akan proses melalui verifikasi kepada yang sudah mendaftar,” katanya.