Pelumba Cub Prix kritikal kemalangan di Litar Bandar Medini

Pelumba Cub Prix kritikal kemalangan di Litar Bandar Medini

Pelumba pasukan CKJ Racing Team Md Izzat Zaidi Md Salehan dilaporkan patah rusuk kiri dan mengalami pendarahan di paru-paru.

Tangkap layar video tular menunjukkan motosikal yang ditunggang Md Izzat Zaidi Md Salehan terbabas sebelum merempuh pagar di tepi litar ketika perlumbaan Cub Prix di Litar Bandar Medini, dekat Iskandar Puteri, Johor Bahru semalam.
PETALING JAYA:
Seorang pelumba motosikal Cub Prix, Md Izzat Zaidi Md Salehan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam satu kemalangan di Litar Bandar Medini, dekat Iskandar Puteri, Johor Bahru semalam.

Menurut Bernama, pelumba pasukan CKJ Racing Team berusia 27 tahun itu dilaporkan mengalami patah tulang rusuk kiri dan pendarahan di bahagian paru-paru.

Pengurus Pasukan CKJ Racing Amer Saad berkata Izzat kini dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah selepas menjalani pembedahan pada jam 4 pagi tadi.

“Izzat masih bergantung 100% pada mesin bantuan pernafasan dan menurut doktor mereka akan tunggu dalam masa 48 jam untuk melihat sama ada masih terdapat pendarahan di paru-paru,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, video yang dipercayai kemalangan membabitkan pelumba berasal dari Selangor itu turut tular di Facebook.

Rakaman berdurasi 26 saat itu menunjukkan jentera yang ditunggang Izzat sewaktu sesi perlumbaan Super-Pole CP150 melanggar penghadang jalan sebelum merempuh ke pagar keselamatan di tepi litar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.