Murid Tahun 4 kritikal, rebah depan ustazah akibat tercekik ‘gummy’

Murid Tahun 4 kritikal, rebah depan ustazah akibat tercekik ‘gummy’

Otak mangsa terkesan kerana kekurangan oksigen berpanjangan dan sedang dirawat Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak, Hospital Pulau Pinang.

Mangsa dikatakan membeli dua biji gula-gula ‘gummy’ di luar kawasan sekolah sebelum sesi persekolahan Kafa, di Butterworth.
PETALING JAYA:
Murid Tahun Empat sempat menuju ke arah ustazah dengan wajah kebiruan sebelum rebah dipercayai tercekik gula-gula jenis ‘gummy’, dibeli di luar kawasan sekolah dalam kejadian di Butterworth.

Murid yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, kini kritikal dan sedang dirawat Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Kanak-kanak itu dipercayai membeli dua biji gula-gula itu sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) pada 2.30 petang semalam.

Ibu saudara Siti Farhani Muhammad Fikri, 33, berkata anak saudaranya dikatakan tercekik dan mengalami kesukaran bernafas, namun sempat menuju ke arah guru sebelum rebah.

Beliau berkata, seorang ustazah di sekolah itu cuba membantu dengan memberi rawatan awal termasuk menepuk belakang anak saudaranya dan menghubungi ambulans, selain pasukan perubatan juga memberi bantuan pernafasan (CPR).

“Kami dimaklumkan gula-gula itu tersangkut di tekak. Keadaannya kritikal dan wajahnya sudah bertukar kebiruan akibat kekurangan oksigen.

“Dia kini menerima rawatan di PICU. Setakat ini keadaannya dilaporkan sangat kritikal dan doktor sedang memantau perkembangan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Siti Farhani berkata, doktor memaklumkan otak kanak-kanak itu mengalami kesan akibat kekurangan oksigen berpanjangan dan dimaklumkan doktor akan memantau keadaan anak sulung daripada dua beradik itu sehingga Jumaat, sebelum membuat keputusan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.