Nahas FRU: 6 masih dirawat, seorang dibenar keluar hospital

Nahas FRU: 6 masih dirawat, seorang dibenar keluar hospital

Lima daripada anggota itu dirawat di Hospital Teluk Intan dan seorang di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

sultan nazrin sumbangan
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada ahli keluarga ketika berangkat melawat anggota FRU yang dirawat di Hospital Teluk Intan hari ini. (Gambar Bernama)
TELUK INTAN:
Enam anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di sini Selasa lepas masih menerima rawatan manakala seorang lagi dibenarkan keluar semalam.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata lima daripada anggota itu dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) dan seorang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Empat daripada lima pesakit yang dirawat di HTI ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala seorang lagi ditempatkan di Wad Surgical dan perkembangan pesakit di wad tersebut bertambah baik, mungkin boleh dibenarkan keluar dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di HTI hari ini.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyantuni keluarga mangsa nahas FRU di hospital berkenaan pagi ini.

Dalam pada itu, Feisul Idzwan berkata anggota yang berada di ICU HRPB mulai sedar dan menunjukkan perkembangan baik walaupun mengalami kecederaan serius.

“Dia mengalami pelbagai jenis kecederaan antaranya di bahagian paru-paru kita panggil diafram iaitu selaput antara paru-paru dengan organ usus, perut, selain kecederaan pada organ hati dan limpa serta kemungkinan besar buah pinggang dan pundi kencing.

“Ini tidak termasuk pelbagai kecederaan tulang kita panggil fracture di tulang rusuk, kaki dan pinggul. Semasa pesakit dimasukkan ke HRPB pun sudah ada tiga pembedahan peringkat awal, jadi memang kita lihat kemungkinan besar pesakit perlu melalui pelbagai jenis prosedur lagi,” katanya.

Menurutnya, bagi pesakit di ICU HTI pula, kesemuanya telah menunjukkan perkembangan baik dengan seorang daripadanya memerlukan pemerhatian rapi.

Dalam kejadian 8.50 pagi Selasa lepas, sembilan anggota maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak FRU dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.