
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata dalam kejadian 3.40 pagi Jumaat, letupan turut menyebabkan kebakaran yang menyambar wanita berusia 63 tahun itu.
Katanya, temubual dengan anak mangsa mendapati kejadian bermula dengan bau kuat dipercayai daripada tong gas yang dapat dihidu dari bilik tidurnya di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.
Menurutnya, saksi kemudian mengejutkan ibunya dan adik perempuan untuk mengajak mereka keluar rumah kerana mengesyaki sesuatu yang buruk.
“Dalam perjalanan turun, mangsa sebaliknya menuju ke arah tong gas bagi menutup kepala injap gas (kunci injap regulator), sebelum tiba-tiba berlaku letupan dalam rumah yang mengakibatkan mangsa melecur.
“Saksi dan adik perempuannya bagaimanapun tidak cedera. Mereka kemudian membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, doktor memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal dan sedang ditidurkan di zon merah unit rawatan rapi (ICU) kerana melecur hampir seluruh badan.
Jelasnya, impak letupan gas itu menyebabkan pintu cermin depan rumah pecah dan jeriji besi turut terkopak dipercayai akibat gas terkumpul dalam rumah.