
Pada masa sama, premium insurans naik melebihi had 10% ditetapkan Bank Negara (BNM), manakala hospital awam pula dibebani dengan barisan menunggu yang panjang, kekurangan pakar, dan sumber terhad.
Namun, pakar berpendapat perbincangan seharusnya beralih daripada mencari kesalahan kepada penyelesaian praktikal dan telus yang dapat memperbaiki hasil untuk rakyat.
Kos perubatan semakin meningkat di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali, malah dalam beberapa aspek negara ini lebih terdedah.
Kenapa kos penjagaan kesihatan naik
Caj hospital swasta sering dianggap berlebihan, namun data menunjukkan mereka beroperasi dengan margin keuntungan selepas cukai yang sederhana iaitu antara 7% hingga 11%—lebih rendah daripada margin dicatatkan syarikat insurans (13%), firma farmaseutikal (15%), dan syarikat teknologi perubatan (16%).
Hingga 90% daripada pendapatan hospital swasta dilaburkan semula dalam infrastruktur, peralatan, dan kakitangan. Pelaburan ini amat penting dalam persekitaran yang kompetitif, di mana mengekalkan pakar berkemahiran tinggi semakin mencabar.
Kos penjagaan kesihatan meningkat antaranya kerana hospital perlu menanggung harga teknologi bertaraf global, ubat-ubatan import dan kenaikan gaji. Pada masa sama, sistem kesihatan awam terus terbeban.
Lebih 70% rakyat Malaysia bergantung kepada penjagaan kesihatan awam, di mana nisbah doktor kepada pesakit melebihi 1,500:1. Mereka yang mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta menikmati akses lebih cepat dan persekitaran penjagaan lebih peribadi, sekali gus melengkapi perkhidmatan asas ditawarkan hospital awam.
Bil perubatan juga berbeza bergantung profil kesihatan pesakit. Individu muda dan sihat semestinya menanggung kos lebih rendah berbanding pesakit warga emas yang menghidap pelbagai penyakit kronik. Namun, perbezaan ini berpunca daripada kerumitan rawatan, bukan penetapan harga secara sewenang-wenangnya.
Faktor insurans
Pesakit sering terkejut dengan kos rawatan swasta, terutama dalam kes yang dilindungi insurans. Namun, situasi ini selalunya berpunca daripada cara polisi insurans itu dirangka.
Hospital biasanya mengenakan kadar asas yang sama tanpa mengira sama ada pesakit membayar sendiri atau melalui insurans. Bagaimanapun, syarikat insurans sering merundingkan diskaun perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan hospital berdasarkan jumlah pesakit yang dirujuk. Dalam kes sedemikian, bil akhir yang ditanggung pesakit berinsurans mungkin lebih rendah daripada kadar biasa.
Sebelum kemasukan, hospital lazimnya memberikan anggaran kos rawatan berdasarkan cadangan klinikal daripada doktor. Pesakit sentiasa dimaklumkan mengenai pilihan yang ada jika perlindungan insurans tidak meliputi prosedur tertentu atau kos rawatan melebihi had polisi.
Pesakit yang memilih untuk membayar sendiri mungkin, dalam sesetengah kes, menanggung kos keseluruhan lebih rendah. Ini boleh berlaku apabila pesakit memilih rawatan kurang intensif atau menerima diskaun dan bantuan kewangan atas budi bicara daripada hospital dan doktor dalam kes tertentu.
Walaupun amalan ini biasanya berlandaskan pertimbangan klinikal dan niat baik, ia boleh menyumbang kepada tanggapan wujudnya dua struktur harga berbeza antara pesakit berinsurans dan yang membayar sendiri.
Apabila dimaklumkan mengenai anggaran kos, pesakit boleh membuat keputusan sama ada mahu membayar sendiri atau dipindahkan ke hospital awam. Proses ini memastikan keputusan dibuat secara telus dan dengan keizinan yang dimaklumkan.
Pakar ekonomi kesihatan, Syed Mohamed Aljunid dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) mengaitkan tekanan inflasi dengan faktor yang mempengaruhi permintaan dan penawaran.
“Dari segi permintaan, penuaan populasi dan peningkatan penyakit tidak berjangkit kronik adalah faktor penting. Ia memerlukan sumber yang besar—terutama dalam jangka panjang—untuk dirawat.
“Dari segi penawaran, teknologi baharu, peralatan dan rawatan khusus, serta pembangunan ubat baharu juga menelan kos tinggi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, sektor insurans juga perlu disemak kerana sesetengah pemegang polisi mengalami kenaikan premium hingga 50% dalam tempoh tiga tahun—jauh melebihi had rasmi.
Apabila perlindungan insurans tamat atau habis digunakan, pesakit biasanya kembali bergantung kepada sistem kesihatan awam. Peralihan ini lebih ketara dalam kes penyakit berulang seperti kanser, di mana polisi kebiasaannya hanya meliputi diagnosis awal.
Ketelusan vs realiti bil perubatan
Tidak seperti produk runcit, kos perubatan tidak selalu boleh dinyatakan terlebih dahulu. Rawatan mungkin berubah bergantung keadaan pesakit, komplikasi, dan proses pemulihan. Walaupun hospital memberikan bil terperinci selepas rawatan, adalah mustahil untuk menganggarkan kos sebenar terlebih dahulu.
Sejak 1 Mei, penyedia penjagaan kesihatan swasta diwajibkan memaparkan harga ubat—langkah meningkatkan ketelusan. Namun, pihak industri menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran praktikal, termasuk beban pentadbiran dan pengawasan peraturan yang tidak jelas.
Pengkritik berkata, konsultasi antara doktor dan pesakit mungkin bertukar menjadi sesi tawar-menawar harga.
Klinik kecil yang sudah bergelut dengan kenaikan kos mungkin sukar mematuhi peraturan ini. Denda untuk ketidakpatuhan—sehingga RM50,000 bagi individu dan RM100,000 bagi syarikat—juga mencetuskan kebimbangan.
Dr Nomee Ashikin, pengarah perubatan Kumpulan Selgate Healthcare Sdn Bhd yang dimiliki kerajaan Selangor berkata, hospital swasta sudah pun beroperasi dengan margin keuntungan kecil dan menanggung kos overhed yang besar untuk mengekalkan standard penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.
“Hospital tiada pilihan kerana berdepan pelbagai cabaran. Dengan isu semasa berkaitan tarif dan kejatuhan nilai ringgit, banyak masalah ini akan berlarutan dan akhirnya ditanggung oleh rakyat,” katanya.
Negara lain menawarkan pelbagai pengajaran. Kawalan harga di Thailand menerima tentangan kerana dikhuatiri menyekat inovasi. Vietnam mengehadkan perkhidmatan asas tetapi membenarkan perkhidmatan premium bagi menampung kos. Singapura pula berusaha mengimbangi peranan sektor awam dan swasta melalui pembiayaan hibrid dan penetapan harga berstruktur.
Apa boleh dilakukan?
Nomee berkata, satu bidang yang penting adalah pengawalseliaan lebih baik terhadap industri insurans.
“Apabila keuntungan menjadi keutamaan, ia akan memudaratkan orang awam. Kita perlukan suatu bentuk pengawalseliaan.
“Kita tahu doktor perubatan adalah pihak yang dikenakan kawal selia. Yuran kami tidak berubah sejak sedekad lalu. Dulu, nisbah bil perubatan ialah satu bahagian untuk doktor, tiga untuk hospital. Sekarang, satu kepada sepuluh,” katanya.
Sesetengah pesakit berdepan lonjakan premium yang ketara dan perlindungan tidak konsisten. Meningkatkan ketelusan dalam proses tuntutan dan komunikasi jelas mengenai struktur pembayaran bersama (co-payment) boleh membantu memulihkan kepercayaan.
Keutamaan lain adalah memperkukuh koordinasi antara penjagaan kesihatan awam dan swasta. Kedua-dua sektor adalah penting, dan kerjasama lebih baik boleh mengurangkan kesesakan serta meningkatkan akses secara menyeluruh.
Pada peringkat dasar, reformasi perlu dilakukan dengan teliti dan penuh pertimbangan kerana peraturan terlalu ketat boleh menghalang pelaburan serta menjejaskan kualiti perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Angsana Health, Dr Khor Swee Kheng, berkata reformasi mesti dilakukan secara beransur-ansur dan melalui rundingan.
“Reformasi perlu dilakukan dengan pemberitahuan yang mencukupi supaya orang ramai tidak terkejut. Selagi ia diuruskan secara beransur-ansur, dapat dijangka dan selari dengan apa yang biasa bagi masyarakat—tanpa menakutkan mereka—reformasi itu akan berjaya,” katanya.
Beliau berkata, menangani cabaran penjagaan kesihatan memerlukan kerjasama semua pihak.
“Berhenti menyalahkan satu sama lain. Berhenti mengatakan satu pihak mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada pihak lain.
“Jalan tengah mesti bersifat kolaboratif, berasaskan bukti dan dilaksanakan secara rintis. Jika menunjukkan hasil positif awal, barulah kita laksanakan sepenuhnya,” katanya.