Calon bidas pembangkang ambil kesempatan atas komen Adnan, yakini sokongan bekas MB

Calon bidas pembangkang ambil kesempatan atas komen Adnan, yakini sokongan bekas MB

Adnan Yaakob amat membantu Barisan Nasional menarik sokongan pengundi DUN Pelangai, kata calonnya, Amizar Abu Adam.

BENTONG:
Calon Barisan Nasional bagi PRK Pelangai membidas pembangkang kerana mengambil kesempatan atas komen Umno “dah nak bungkus” oleh veteran parti itu, Adnan Yaakob.

Amizar Abu Adam berkata Adnan nyata sekali “orang Umno” di sebalik apa sahaja komennya kerana beliau amat membantu BN menarik sokongan pengundi DUN Pelangai, yang menyenangi kehadiran bekas wakil rakyat mereka selama lapan penggal itu.

“Akhirnya beliau duduk bersama BN. Ini melambangkan beliau sebenarnya memang orang Umno dan takkan keluar,” katanya kepada FMT, ketika ditemui di program bersama veteran tentera di Kampung Bukit Gajah, baru-baru ini.

“Mereka (pembangkang) ambil kesempatan sahaja,” tambahnya, sambil menjelaskan komen itu tidak habis dikupas.

Dilaporkan Adnan mendakwa Umno “dah nak bungkus” menerusi satu video tular pada Ogos, selepas beliau berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipercayai bagi kes membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Ketika Muhyiddin meminta bekas menteri besar Pahang itu menjelaskan komen tersebut, Adnan dipetik sekadar menjawab “banyak ceritanya”.

Di sebalik apa yang dilaporkan media itu, Amizar berkata hakikatnya Adnan bersama kempen beliau mempertahankan Pelangai untuk BN.

“Adnan tidak asing di Pelangai dan beliau sangat baik kepada masyarakat di DUN ini. Pelangai dan ‘Long Nan’ berpisah tiada,” katanya.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandang, Johari Harun dalam nahas pesawat di Shah Alam 17 Ogos lalu.

Pada PRU15, Johari berjaya mempertahankan Pelangai dengan majoriti lebih 4,000 undi. Ia terletak dalam Parlimen Bentong yang dimenangi Pakatan Harapan, yang turut memenangi dua DUN lain di bawahnya, Bilut dan Ketari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.