Bekas MB Pahang Adnan Yaakob gagal ketepi penghakiman RM84,000

Bekas MB Pahang Adnan Yaakob gagal ketepi penghakiman RM84,000

Mahkamah Rayuan berkata beliau sepatutnya failkan semakan kehakiman bagi batal penalti Suruhanjaya Sekuriti kerana tidak dedah maklumat dalam prospektus syarikat.

adnan yaakob
Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas menteri besar Pahang, Adnan Yaakob, berikutan penghakiman terus menyebelahi Suruhanjaya Sekuriti sebelum ini.
PUTRAJAYA:
Bekas menteri besar Pahang, Adnan Yaakob, gagal dalam cubaan terakhir mengetepikan penghakiman terus yang mengarahkannya membayar penalti RM84,000 kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), berhubung kegagalan pendedahan dalam prospektus sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Azimah Omar menyatakan, Adnan sepatutnya memfailkan semakan kehakiman membatalkan penalti itu.

“Berdasarkan alasan ini sahaja, rayuan tersebut tidak ada asas untuk berjaya,” kata Azimah yang bersidang bersama Hakim Wong Kian Kheong dan Brahim Ismail.

Azimah berkata, Adnan juga gagal mengemukakan sebarang isu yang boleh dipertikaikan bagi menghalang penghakiman terus dikenakan terhadapnya.

“Kami terikat untuk menolak rayuan ini kerana ia tidak mempunyai merit,” kata hakim itu.

Mahkamah turut memerintahkan Adnan membayar kos RM10,000 kepada SC.

Peguam Lambert Rasa-Ratnam, Chia Oh Sheng, dan Lim Jun Xian mewakili SC, manakala Adnan, yang merupakan peguam bertauliah, mewakili dirinya sendiri di mahkamah.

Menurut fakta kes, Adnan yang menjadi menteri besar dari 1999 hingga 2018, merupakan seorang pengarah dalam lembaga pengarah Pasdec Holdings Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Pahang.

SC, sebuah badan berkanun ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), diberi kuasa oleh akta berkenaan serta Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk melaksanakan fungsi kawal selia.

Pada 16 Mei 2018, Pasdec telah mengeluarkan prospektus ringkas yang tidak mengandungi maklumat material.

Syarikat itu gagal mendedahkan permohonannya kepada Kementerian Kewangan – bagi melanggan haknya pada kadar RM3.50 kelayakan sesaham yang masih dalam proses kelulusan.

Lembaga pengarah Pasdec, yang turut dianggotai Adnan, memikul tanggungjawab terhadap kawal selia tersebut.

Pada 22 Julai 2020, SC telah memaklumkan kepada Adnan bahawa beliau telah melanggar peruntukan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan serta mengenakan penalti RM84,000.

Memandangkan tiada bayaran dibuat, SC memfailkan saman sivil dan majistret di Kuantan pada 25 Ogos 2022 dengan mengemukakan penghakiman terus terhadap Adnan dengan kos RM1,000.

Mahkamah Tinggi juga menolak rayuan Adnan pada 17 Febr 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.