
Wan Rosdy berkata, keputusan dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat hari ini serta selaras dengan pelantikan Adun Pelangai Amizar Abu Adam sebagai exco baharu.
Katanya, Amizar akan memegang portfolio Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan mengambil alih tugas Adun Muadzam Shah Razali Kassim yang akan menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan.
Adun Bebar Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang sebelum ini memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan pula dilantik sebagai exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
“Penyusunan portfolio ini berkuat kuasa serta-merta. Saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada exco terlibat,” katanya.
“Saya berharap dengan penyusunan semula portfolio exco, pentadbiran Kerajaan Pahang akan lebih kemas dan mantap terutamanya dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Semalam, Amizar yang berasal dari Felda Chemomoi, Bentong mengangkat sumpah sebagai exco Pahang yang baharu di Istana Abdulaziz.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Amizar memenangi kerusi DUN Pelangai pada PRK Oktober tahun lepas, diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya Johari Harun, maut dalam insiden pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada Ogos.
Johari sebelum ini memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.