Kertas siasatan Sanusi, Adun Jengka diserah ke pejabat TPR

Kertas siasatan Sanusi, Adun Jengka diserah ke pejabat TPR

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata ia susulan siasatan terhadap ucapan ketika kempen PRK Pelangai.

Kertas siasatan melibatkan Sanusi Noor dan Adun Jengka Shahril Azman Abd Halim diserah kepada pejabat timbalan pendakwa raya pada minggu kedua Oktober.
KUANTAN:
Kertas siasatan terhadap dua ahli politik PAS berhubung kenyataan mereka sebelum PRK Pelangai, Bentong, diserah ke pejabat timbalan pendakwa raya.

Kertas siasatan itu melibatkan Menteri Besar Kedah Sanusi Noor dan Adun Jengka Shahril Azman Abd Halim.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, pada sidang media di IPK Pahang berkata kertas siasatan itu diserah pada minggu kedua Oktober.

Beliau berkata, polis secara keseluruhan merakam keterangan lima individu berkaitan siasatan terhadap Sanusi termasuk menteri besar itu yang memberikan keterangan pada 7 Okt di Balai Polis Manchis, Bentong.

Siasatan terhadap Sanusi dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 dan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, susulan kenyataannya pada sesi ceramah 22 Sept lalu, iaitu sehari sebelum hari penamaan calon bagi PRK DUN Pelangai.

Siasatan terhadap Shahril Azman juga dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 AKMM serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan selepas didakwa mengeluarkan sentimen 3R (agama, raja, dan kaum), semasa berada di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam DUN Pelangai sebelum video berkaitan dimuat naik ke akaun TikTok miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.