PAS belum bincang pertaruh Che Alias atau calon baharu di Kemaman

PAS belum bincang pertaruh Che Alias atau calon baharu di Kemaman

Samsuri Mokhtar berkata PAS tidak ambil mudah cabaran mempertahankan Parlimen Kemaman.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS Terengganu belum membincangkan sama ada ia akan sekali lagi mempertaruhkan Che Alias Abdul Hamid sekiranya pilihan raya baharu diadakan bagi Parlimen Kemaman.

Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perbincangan setakat ini mengenai rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang membatalkan kemenangan Perikatan Nasional pada PRU15 selepas menerima dakwaan berhubung sogokan semasa tempoh berkempen.

PAS hari ini mengumumkan ia tidak akan merayu keputusan mahkamah, sekaligus membuka ruang kepada pemilihan baharu.

“Kita belum buat keputusan lagi sama ada nak kekalkan calon sama atau tidak. Belum ada perbincangan soal itu,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Hakim Anselm Charles Fernandis ketika pengurusan kes menyatakan terdapatnya unsur-unsur rasuah bagi bahagian pilihan raya Parlimen itu tanpa menamakan mana-mana pihak, menurut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam kenyataan.

Pada PRU15, Che Alias menang bergaya dengan majoriti 27,179 undi, selepas meraih 65,714 undi untuk menewaskan Barisan Nasional yang memperoleh 38,535 undi, Pakatan Harapan (8,340), dan Pejuang (506).

Samsuri berkata PAS tidak mengambil mudah cabaran mempertahankan Kemaman. “Kita bekerja keras dengan sepenuh hati dan saya percaya rakyat sangat teruja untuk beri kemenangan kepada calon PAS sekali lagi.”

Terdahulu, Ketua Umno Terengganu Ahmad Said berpandangan calon PN bagi Parlimen Kemaman pada PRU15 patut tidak boleh bertanding selepas kemenangan terbatal susulan dakwaan terdapat unsur-unsur rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.