Terbuka terima kritikan, nasihat Hadi pada Dr Sam

Terbuka terima kritikan, nasihat Hadi pada Dr Sam

Menteri besar Terengganu berkata beliau bertanya bagaimana presiden PAS kekal tenang walaupun menerima banyak kritikan.

Ahmad Samsuri Mokhtar melancarkan buku ‘Ensiklopedia Aqidah Muslim’ tulisan Presiden PAS Hadi Awang di Pentas Dunia Buku, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia. (Gambar Yayasan Permata Ummah)
KUALA LUMPUR:
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Presiden PAS Hadi Awang pernah menasihatinya supaya sentiasa bersikap terbuka apabila menerima kritikan dan terus berusaha untuk berbuat lebih baik.

Samsuri berkata, Hadi memberi nasihat itu selepas beliau bertanya bagaimana Ahli Parlimen Marang itu mampu bersikap tenang walaupun berdepan dengan kecaman dan cemuhan daripada musuh politiknya.

“Saya pernah tanya bagaimana Tok Guru (Hadi) boleh hadapi kritikan itu, kadang-kadang bukan pedas lagi ia luar biasa pedas. Apa disebut Tok Guru ia beri motivasi baharu kepada saya.

“Tok Guru berkata dalam kita membawa mesej (ke arah kebaikan), kita kena terbuka kepada kritikan, Nabi yang sempurna itu pun akan ada yang mengkritik,” katanya.

Samsuri berkata demikian dalam program sembang santai sempena majlis pelancaran buku ‘Ensiklopedia Aqidah Muslim’ tulisan Abdul Hadi di Pentas Dunia Buku, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia.

Beliau yang juga naib presiden PAS berkata, Hadi juga menasihati supaya menjadikan kritikan itu sebagai panduan dan semangat membawa mesej kebenaran jauh mengatasi segala kritikan.

Mengulas pengalaman peribadi beliau sepanjang menjadi setiausaha politik dan setiausaha akhbar Hadi dari 2008 hingga 2018, Samsuri berkata, komitmen Hadi dengan ilmu cukup tinggi.

“Hadi rasakan tugas menyampaikan ilmu perlu berterusan itu menjadi motivasi dan penyebab kenapa beliau sangat berdisiplin dalam mendalami ilmu dan menulis.

“Tak kira demam atau tak sihat beliau akan bangkit awal pagi dan mengadap komputer membaca dan menulis.

“Sampai sekarang walau apa juga keadaan dia tetap menulis. Saya rasa itu satu disiplin sangat luar biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.