
Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan berhubung jawatan tersebut, manakala Ketua Wanita Nuridah Salleh memaklumkan belum ada calon dari PAS untuk mengisi jawatan berkenaan.
“Belum lagi,” kata Afnan kepada FMT, ketika ditanya tentang perkembangan calon pengerusi PN dari PAS bagi menggantikan Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan semalam.
Afnan juga memberitahu FMT bahawa PAS belum bermesyuarat berhubung isu berkenaan. “Belum tahu lagi (bila mesyuarat),” katanya.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan isu jawatan pengerusi akan dibawa ke majlis tertinggi gabungan yang dianggotai presiden parti-parti komponen.