PRK Ayer Kuning: Muhaimin Malek calon PN

PRK Ayer Kuning: Muhaimin Malek calon PN

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man umum ketua PN Tapah itu sebagai calon gabungan pembangkang.

Abdul Muhaimin Malek
Ketua PN Tapah Abdul Muhaimin Malek diumumkan sebagai calon gabungan pembangkang bagi PRK Ayer Kuning 26 April ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) akan mempertaruhkan Abdul Muhaimin Malek sebagai calon PRK Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pencalonan ketua PN Tapah itu diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu majlis di Tapah, Perak, malam ini.

Tuan Ibrahim dalam ucapannya berkata, keputusan memilih Muhaimin yang juga yang dipertua PAS Tapah itu diambil setelah mengambil kira syarat beliau menepati kajian pengundi yang dibuat dari pelbagai kaum dan lapisan.

“PN bersetuju memilih calon (Muhaimin) anak jati tempatan mewakili gabungan dalam PRK kali ini. Beliau pernah menjawat jawatan ketua Pemuda PAS Tapah dan juga lama khidmat dengan masyarakat di Ayer Kuning,” katanya.

Muhaimin, 43, adalah pengetua Maahad Tahfiz Addin dan berpengalaman luas dalam dunia pendidikan, dakwah dan pembangunan insan.

Pernah menuntut ilmu di Syria dan kemudiannya di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah, Muhaimin juga seorang motivator dan pensyarah jemputan.

Terdahulu dilaporkan PSM akan mencalonkan timbalan setiausaha agungnya, Bawani KS, pada PRK itu.

Selain itu, BN turut mengumumkan pencalonan Setiausaha Umno Tapah Mohamad Yusri Bakir mewakili gabungan kerajaan perpaduan.

Hari penamaan calon bagi PRK itu ditetapkan pada Sabtu ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lalu. Ishsam memenangi kerusi tersebut pada PRU lalu dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Berdasarkan data pilihan raya 2022, Ayer Kuning merupakan kawasan berbilang kaum, terdiri daripada 55.64% pengundi Melayu, 21.99% Cina, 14.3% India dan 8.07% daripada kumpulan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.