PRK Ayer Kuning: Calon PN yakin sokongan Cina, India meningkat

PRK Ayer Kuning: Calon PN yakin sokongan Cina, India meningkat

Muhaimin Malek kata beliau bertanding untuk mewakili seluruh pengundi Ayer Kuning.

Abdul Muhaimin Malek
Meskipun wakil rakyat dahulu dikatakan popular, Muhaimin Malek dakwa telah berlaku ‘pengabaian yang sistematik’. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Abd Muhaimin Malek dari PAS, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional bagi PRK Ayer Kuning, tepis anggapan bahawa gabungan itu hanya memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Beliau sebaliknya maklum PN memerlukan sokongan semua kaum untuk memenangi Ayer Kuning, di mana pengundi bukan Melayu membentuk lebih 40% daripada pemilih.

“Saya bertanding untuk mewakili keseluruhan pengundi Ayer Kuning,” katanya ketika ditemubual FMT, yang berkata kempen beliau akan menyantuni semua pengundi bukan Melayu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan PN, yang dikatakan berharap pada sokongan pengundi Melayu, bersaing dengan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS, dalam menghadapi Barisan Nasional yang disokong Pakatan Harapan.

Muhaimin mendakwa sokongan pengundi Cina dan India kepada PN sudah meningkat, hasil kerja kuat semua komponen gabungan itu.

Pada PRU 2022, BN menang dengan majoriti 2,213 undi selepas menewaskan empat pencabar lain. Calon ketika itu, Ishsam Shahruddin meraih 9,088 undi berbanding 6,875 undi bagi PH dan 6,812 undi bagi PN.

“Saya yakin dalam PRK kali ini sokongan pengundi Cina dan India akan terus meningkat,” katanya, yang turut yakin tentang sokongan pengundi muda kepada PN.

Meskipun Ishsam dikatakan popular dalam kalangan warga Ayer Kuning, Muhaimin mendakwa telah berlaku ‘pengabaian yang sistematik’.

“Sokongan anak muda yang sangat kukuh sejak dari PRU yang lepas. Selain itu telah berlaku pengabaian yang sistematik oleh BN kepada pengundi Ayer Kuning selama ini. Isu lokal dan nasional bakal mengubah sokongan pengundi Ayer Kuning kepada PAS dan PN,” katanya.

Muhaimin turut menolak anggapan bahawa gabungan undi yang diperoleh BN dan PH pada PRU lalu akan memalapkan peluang beliau.

“Pilihan raya bukan matematik mudah seperti itu,” katanya.

Pengundi Ayer Kuning akan memilih wakil mereka pada 26 April ini, selepas kempen yang berlangsung selama 14 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.