Lelaki mengaku salah ugut ibu

Lelaki mengaku salah ugut ibu

Tertuduh berusia 22 tahun didakwa berkelakuan kurang sopan terhadap ibunya dengan mengeluarkan kata-kata ugutan pada 19 Sept lalu.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengugut ibunya Selasa lalu.

Pembantu di pusat permainan kanak-kanak, Muhammad Zahir Mohd Zubir, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Mahkamah menetapkan 26 Sept untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa berkelakuan kurang sopan terhadap Zalya Ibrahim, 46, dengan mengeluarkan kata-kata ugutan di sebuah rumah di Kampung Lindungan, pada 6 petang 19 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pegawai pendakwa Mohd Ghazali Zulkifli mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM3,000 dan seorang penjamin, tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana baru mendapat kerja.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.