Terhidu gas ammonia bocor, 2 pekerja sesak nafas

Terhidu gas ammonia bocor, 2 pekerja sesak nafas

Dua mangsa yang dirawat di zon kuning Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun kini dalam keadaan stabil.

Pasukan bomba dan penyelamat menggunakan air untuk meneutralkan bacaan gas ammonia di sekitar kawasan kilang ais di Persiaran Industri Rapat, dekat Simpang Pulai. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Dua pekerja dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh akibat sesak nafas selepas terhidu gas ammonia bocor di sebuah kilang ais di Persiaran Industri Rapat, dekat Simpang Pulai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon, berkata seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga pekerja kilang bersebelahan mendapatkan rawatan sekitar 8.40 pagi tadi.

Katanya, dua mangsa yang dirawat di zon kuning Jabatan Kecemasan hospital itu kini dalam keadaan stabil.

“Kejadian ini berpunca daripada paip saluran gas ammonia mengalami kebocoran dan baunya dapat dihidu dalam jarak 30 hingga 90m.

“Pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) mengenal pasti kebocoran itu dan melakukan ‘water curtain’ bagi menyejukkan bahan itu dan mengelakkan gas itu meresap keluar,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, pasukannya kini dalam tindakan bilas dan pencairan menggunakan air bagi meneutralkan bacaan gas ammonia di kawasan premis itu.

Walaupun bacaan awal sekitar 500ppm (parts per million) dan kini turun kepada 300ppm, tetapi katanya, bacaan itu tidak stabil.

“Operasi masih diteruskan dengan mengambil bacaan ini secara berkala sehingga ia selamat sepenuhnya untuk pekerja dan kawasan sekeliling,” katanya sambil menambah 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dibantu pasukan Hazmat BBP Pasir Puteh memulakan operasi 5.11 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.