KPM siasat dakwaan penjualan kertas soalan SPM

KPM siasat dakwaan penjualan kertas soalan SPM

Tular di media sosial soalan SPM didakwa bocor dijual pada harga RM499 bagi setiap mata pelajaran disertai jaminan wang dikembali jika calon gagal dapat keputusan cemerlang.

spm
Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata walaupun tiada laporan rasmi diterima, pihaknya menyedari dakwaan yang tular di media sosial beberapa hari lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat dakwaan penjualan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa bocor.

Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, berkata walaupun tiada laporan rasmi diterima, pihaknya menyedari dakwaan yang tular di media sosial beberapa hari lalu.

“Ini dalam tindakan Lembaga Peperiksaan dan saya yakin mereka ada prosedur betul,” katanya selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) di sini.

Sebelum ini, beberapa tangkap layar tular menunjukkan pihak tertentu menawarkan soalan SPM didakwa bocor pada harga serendah RM499 bagi setiap mata pelajaran, disertai jaminan pengembalian wang jika calon tidak memperoleh keputusan cemerlang.

Tegasnya, kertas soalan SPM dalam kawalan ketat dengan semua prosedur keselamatan peperiksaan dipatuhi, termasuk di negeri terjejas banjir.

“Kita sudah mula mengambil tindakan dan sedang menentukan lokasi simpanan kertas soalan. Setidak-tidaknya kita letak di lokap balai polis.”

Seramai 413,372 calon menduduki SPM 2025, meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan, termasuk Maktab Rendah Sains Mara dan Maktab Tentera Diraja, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, sekolah menengah agama rakyat dan calon persendirian.

Hari ini, jadual SPM 2025 bermula dengan peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 yang bermula 8.15 pagi tadi, disusuli Pendidikan Seni Visual (Teori Seni Kertas 1) pada 11.45 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2.30 petang nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.