
Ketua Polis Kemaman, Mohd Razi Rosli, berkata walaupun jarak dari pusat tahfiz ke lokasi kejadian agak jauh iaitu 2km, tindakan awal perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penghuni terjamin memandangkan risiko pencemaran udara mungkin berlaku jika keadaan angin berubah.
“Kita mengambil langkah berjaga-jaga dan kita bimbang arah angin yang menghala ke pusat tahfiz boleh menyebabkan udara tercemar sekali gus memberikan kesan buruk. Jadi, kita ambil keputusan pindahkan mereka lebih awal.
“Pemindahan akan dilaksanakan hari ini juga sebelum malam bagi mengelakkan sebarang risiko. Pegawai kita sudah berurusan dengan pihak pusat tahfiz berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Gerakan Operasi di lokasi kejadian.
Razi turut menasihati orang awam tidak mendekati kawasan kejadian atau cuba melihat lokasi dari jarak dekat kerana dikhuatiri terdedah kepada risiko pencemaran udara.
“Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka kerana gas yang dibawa angin boleh sampai ke kawasan pembakaran sekali gus membahayakan keadaan.
“Selain itu, hentikan sementara sebarang aktiviti di kawasan hutan berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, Razi berkata orang ramai tidak perlu panik kerana situasi terkawal selain mereka diminta mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung insiden terbabit.
Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menutup laluan utama Kerteh–Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas PGB di Tapak ECRL, Seksyen 5, Kerteh, pagi semalam.
Razi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi yang melaporkan terdapat kebocoran paip gas butana dalam bentuk gas mudah terbakar.
Beliau berkata, lokasi kebocoran terletak kira-kira 2km dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.