Majikan ‘pentingkan diri’ dikritik bantah dedah gaji dalam iklan kerja

Majikan ‘pentingkan diri’ dikritik bantah dedah gaji dalam iklan kerja

CEO Kesatuan Pekerja Bank Sarawak, Andrew Lo menepis dakwaan pelanggaran data majikan dan saingan lebih sengit.

Seorang pengarah program MBA mencadangkan majikan mendedahkan kadar gaji pekerjaan ditawarkan bagi mengelakkan graduan dieksploitasi. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) mengkritik majikan yang membantah cadangan pendedahan gaji ditawarkan dalam iklan jawatan kosong.

Ketua Pegawai Eksekutif SBEU, Andrew Lo berkata alasan majikan enggan mendedahkan gaji ditawarkan mereka “bercanggah” dan “mementingkan diri”.

“Contohnya, bagaimana ia boleh dilihat sebagai pelanggaran data majikan adalah di luar pemahaman. Adakah mereka katakan papar harga barangan di kedai dan perniagaan juga melanggar maklumat perniagaan serta budi bicara untuk menetapkan harga?” katanya dalam kenyataan.

Beliau menepis kebimbangan berhubung kemungkinan persaingan lebih sengit, sebaliknya pendedahan gaji akan menggalakkan pasaran bebas dan meningkatkan persaingan.

“Apa yang mereka benar-benar bimbang ialah ia mungkin berlaku lebih banyak persaingan kerana mereka juga secara tidak sedar mengakui ia boleh menyebabkan kenaikan gaji.

“Ia hanya boleh bermaksud mereka mahu mengelakkan pencari kerja mencari tawaran terbaik.”

Pengarah program MBA Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff dilaporkan berkata, majikan sektor awam dan swasta perlu diwajibkan mendedahkan kadar gaji pekerjaan ditawarkan.

Katanya, ia akan berperanan sebagai langkah pencegahan terhadap eksploitasi graduan memasuki pasaran kerja.

Semalam, FMT melaporkan majikan dan kumpulan perniagaan berpendapat ia bukan idea baik, dengan Presiden MICCI, Christina Tee berkata cadangan itu akan menjadikan “pasaran kaku”, manakala Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman menyuarakan keraguan terhadap kerahsiaan data majikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.