
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem, berkata hasil pemeriksaan mendapati semua pekerja itu ditempatkan di empat blok kabin dan kontena dibina di tapak projek tersebut.
“Dalam operasi bermula 10.15 pagi dan berakhir 12 tengah hari tadi, kita berjaya mengesan tindakan tidak bertanggungjawab majikan yang gagal menyediakan kemudahan asas kepada 190 pekerja asing.
“Kita dapati tempat mandi pekerja dalam keadaan terbuka tanpa pengasingan lelaki dan wanita, tandas sangat kotor dan tiada privasi, ini jelas tidak mematuhi piawaian di bawah Akta 446,” katanya menurut Kosmo.
Sementara itu Ngwe memaklumkan majikan terbabit pernah membuat permohonan bagi pengiktirafan penginapan pekerja mengikut Seksyen 24D Akta 446, namun ditolak kerana gagal memenuhi standard minimum.
“Kita turut kesan beberapa kesalahan lain seperti premis makanan dan kedai runcit beroperasi tanpa lesen serta dua kawasan pembiakan nyamuk yang dikenakan tindakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.”
Katanya, Jabatan Tenaga Kerja akan membuka kertas siasatan dan jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.
Beliau berkata, kerajaan Melaka dengan kerjasama agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Kesihatan Negeri, dan polis akan terus melakukan pemeriksaan mengejut bagi memastikan setiap majikan mematuhi Akta 446.