Dana RM10 juta Yayasan Akalbudi untuk syarikat adalah pelaburan, kata Datuk K

Dana RM10 juta Yayasan Akalbudi untuk syarikat adalah pelaburan, kata Datuk K

Ahli perniagaan Khalid Jiwa berkata jumlah itu adalah untuk membolehkan Armada Holdings Sdn Bhd memenuhi keperluan tender TNB.

Khalid Jiwa berkata beliau menemani ahli perniagaan Wasi Khan bertemu Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Zahid Hamidi membayar RM10 juta daripada akaun Yayasan Akalbudi bagi membolehkan sebuah syarikat memenuhi syarat tender pembekalan arang batu Indonesia kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Khalid Jiwa, yang lebih dikenali sebagai “Datuk K”, berkata beliau telah menemani Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd ketika itu, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad untuk bertemu Zahid.

Khalid ialah suami kepada penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Tarudin.

Ketika itu, Zahid adalah timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Khalid berkata beliau mengatur pertemuan itu selepas dimaklumkan bahawa syarikat Wasi memerlukan RM10 juta untuk memenuhi keperluan TNB bagi modal berbayar minimum untuk tender.

“Wasi sebenarnya mahu Zahid campur tangan supaya TNB dapat mengurangkan modal berbayar daripada RM10 juta kepada RM5 juta,” kata saksi pembelaan kelapan itu dalam keterangan saksinya.

“Pada akhir perbincangan, Zahid bersetuju memberikan RM10 juta,” katanya.

Wasi kemudian memberitahu Khalid, dia telah menerima cek RM10 juta daripada yayasan itu.

Menurut Wasi, Khalid berkata beliau tahu Yayasan Akalbudi diuruskan oleh Zahid dan wang itu telah dikeluarkan daripada simpanan tetap milik yayasan berkenaan.

Ia juga didedahkan oleh Zahid semasa keterangannya bahawa syarikat itu tidak memenangi tender dan wang itu dipulangkan.

Khalid juga berkata beliau memberitahu Wasi untuk memberi pampasan kepada yayasan itu kerana “terlepas peluangnya”.

Beliau berkata RM69,722.65 akhirnya dibayar kepada yayasan itu sebagai pulangan pelaburan dan wang itu digunakan untuk menjalankan aktiviti kebajikan.

“RM10 juta itu dipulangkan bersama bayaran faedah dan (yayasan) tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya.

Pihak pendakwaan berkata RM10 juta itu adalah pinjaman kerana yayasan itu dilarang oleh perlembagaannya daripada menceburi sebarang perniagaan.

Pihak pembelaan bagaimanapun mendakwa ia adalah satu pelaburan.

Dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar, Khalid mempertahankan bahawa RM10 juta itu adalah pelaburan.

“RM69,722.65 itu adalah pulangan pelaburan kerana (yayasan) telah mencairkan RM10 juta yang disimpan sebagai simpanan tetap,” katanya.

Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Dua belas daripada pertuduhan adalah melibatkan kes CBT, lapan kes rasuah dan baki 27 kes pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.