
Bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar berkata tempoh bertenang akan mewujudkan persekitaran lebih kondusif dan aman menjelang hari mengundi.
“Kerajaan perlu melanjutkan tempoh bertenang kepada tiga hari menjelang hari mengundi kerana kempen dilakukan berterusan setiap hari – walaupun sebelum tempoh berkempen bermula,” katanya kepada FMT.
“Tiga hari sebelum hari mengundi, pengundi (sudah) membuat pilihan tentang calon atau parti yang akan mereka undi.”
Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan kempen perlu ditamatkan sehari sebelum hari mengundi.
Wan Ahmad berkata, sepanduk politik, bendera, poster dan bahan kempen lain perlu diturunkan ketika tempoh bertenang itu.
Katanya, calon atau parti tidak patut menyampaikan ucapan atau menyiarkan kandungan berkaitan pilihan raya di media massa atau sosial.
Beliau menyarankan SPR menahan deposit kempen calon yang gagal mematuhinya.
“Kita juga patut melarang pondok parti didirikan dekat pusat mengundi kerana ia boleh menjadi punca gangguan ketika hari mengundi,” katanya sambil menyifatkan pondok parti “tidak relevan” memandangkan pengundi boleh menyemak maklumat pengundian mereka dalam talian atau dengan pegawai SPR di pusat mengundi.
Katanya, SPR mempunyai sumber diperlukan untuk melaksanakan tiga hari tempoh bertenang dan PRK adalah peluang baik untuk menguji idea itu.