
Ketika berucap pada penutupan konvensyen GPS, Abang Johari berkata beliau tidak tahu bila PRN akan diadakan, namun menegaskan bahawa GPS akan bertanding di semua kawasan.
Katanya, GPS juga tidak mahu parti dari luar mengganggu Sarawak kerana hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami budaya dan politik negeri itu.
“Kita sudah mempunyai kerjasama yang baik (dengan parti nasional dalam kerajaan perpaduan di persekutuan); kita seperti sebuah keluarga, tetapi jangan campuri urusan keluarga Sarawak,” katanya.
“Kita bukannya bersifat introvert; kita mengambil kira kepentingan Malaysia secara keseluruhan. Jika Sarawak maju, Malaysia turut maju. Jika ekonomi Sarawak kukuh, Malaysia juga kukuh,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri tidak pasti sama ada proses persempadanan semula bagi 17 kerusi baharu dapat diselesaikan sebelum pilihan raya.
DUN Sarawak sebelum ini meluluskan usul untuk menambah jumlah kerusi negeri itu daripada 82 kepada 99.
Kerusi baharu yang dicadangkan perlu diluluskan oleh Parlimen selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelesaikan proses persempadanan semula.
Abang Johari, yang juga premier Sarawak, berkata kerajaan negeri sedang menunggu perkembangan daripada SPR mengenai status proses tersebut.
“Jika proses itu dapat diselesaikan tepat pada masanya, maka pilihan raya mungkin diadakan dengan 99 kerusi. Jika tidak, ia mungkin tetap dijalankan dengan 82 kerusi sedia ada,” katanya.
Penggal DUN Sarawak akan tamat pada Februari tahun depan, melainkan dibubarkan lebih awal, dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran atau selewat-lewatnya menjelang April tahun depan.
Abang Johari berkata GPS akan bertanding di semua kerusi kerana ‘hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami budaya dan politik kami’.
Beliau turut mengimbas bahawa ketika Allahyarham Abdul Taib Mahmud menjadi ketua menteri, kerajaan negeri memaklumkan kepada Umno bahawa parti itu tidak perlu berkembang ke Sarawak, sambil menegaskan negeri itu tidak mahu parti luar mengganggu landskap politiknya.
“Kami mengekalkan hubungan dan kerjasama yang baik sebagai rakan, tetapi kerjasama ini mesti dihormati. Tanpa Sarawak, kerajaan persekutuan mungkin tidak mempunyai kestabilan sebegini.
“Kerana Sarawak, Malaysia kekal stabil,” katanya, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, komponen dominan dalam GPS.
GPS menguasai 79 kerusi di DUN Sarawak merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (47), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (13), Parti Rakyat Sarawak (11) dan Parti Demokratik Progresif (8), serta mendapat sokongan seorang wakil rakyat bebas.
Pembangkang pula terdiri daripada DAP yang mewakili Pakatan Harapan dengan dua kerusi.