
Berpengalaman dua penggal sebagai Adun Semenyih pada 2008 hingga 2018, timbalan ketua Umno Selangor itu tidak kekok menerjah penempatan dan pusat komersial di sekitar Dusun Tua, bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai isu menyumbang masalah bau pencemaran, selain menyakitkan pandangan.
“Sudah sampai masa kita kaji secara menyeluruh isu ini… masalah pembuangan sampah bukan saja ada di kampung tetapi di bandar tempat komersial begini pun ada.
“Sudah sampai waktunya kita lakukan penambahbaikan,” katanya selepas melawat pusat komersial Taman Emas, Dusun Tua.

Bercakap kepada FMT, Johan berkata, sikap beliau yang “gila bekerja dan tidak tahu malu”, mendorongnya menyelesaikan pelbagai masalah setempat itu secepat mungkin
Menurutnya, pihaknya akan mengatur pertemuan antara ahli majlis, Majlis Perbandaran Kajang, penduduk setempat dan KDEB Waste Management dalam masa terdekat agar satu penyelesaian dapat dicapai.
“Kalau kebersihan tak diberi keutamaan, tak sihat lah. Jadi kita kena perbetulkan sistem itu,” katanya sambil menambah, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membantu membersihkan longkang yang tersumbat dalam tempoh seminggu ini sebagai penyelesaian jangka pendek.
Johan antara dua calon Umno yang menang pada PRN Selangor 12 Ogos lalu, menewaskan Azhar Hambali (PN) dan Al Hafiz Ikhwan (Muda) dengan majoriti 3,014 undi.