Pemuda DAP Selangor nak tuntut semula kerusi Dusun Tua

Pemuda DAP Selangor nak tuntut semula kerusi Dusun Tua

Ini susulan kenyataan timbalan presiden Umno bahawa parti itu 'tak pernah sehaluan' dengan DAP.

Pada PRN 2023, DAP serah kerusi DUN Dusun Tua di Selangor apabila PH putuskan beri laluan kepada calon BN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda DAP Selangor menyatakan hasrat menuntut semula kerusi DUN Dusun Tua selepas seorang pemimpin Umno mendakwa parti itu tidak pernah sehaluan dari segi politik dengan DAP, sebaliknya hanya bekerjasama dalam kerangka kerajaan perpaduan.

Pada PRN 2023, DAP menyerahkan kerusi Dusun Tua di Selangor apabila Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Menurut Pemuda DAP Selangor, bukan mudah untuk meyakinkan akar umbi bahawa pengorbanan itu perlu demi kestabilan politik negara, apatah lagi menyerahkan kerusi yang mampu dimenangi kepada sekutu.

“Namun, apabila semua pengorbanan yang tidak mudah ini telah kita lakukan, tetapi masih ada pihak di sebelah sana yang mengatakan bahawa DAP tidak pernah bersama sebagai rakan seperjuangan, maka Pemuda DAP menyeru kepada pimpinan DAP Selangor agar kita mempertimbangkan semula pendirian kita.

“Jika keikhlasan kita tidak dihargai, maka eloklah kita simpan kembali keikhlasan itu dan mengambil semula kerusi yang sepatutnya diberikan kepada rakan, serta mencalonkan rakan kita sendiri dalam PRN yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum ini berkata, parti itu ‘tidak pernah bersama DAP’ dan kedua-dua parti hanya memutuskan untuk bekerjasama susulan situasi Parlimen tergantung selepas PRU 2022.

Beliau menjawab kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Che Sulaiman, yang menyarankan agar Umno mengambil langkah pertama memutuskan hubungan dengan DAP bagi menjayakan agenda perpaduan Melayu dan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.