Defensif isu sampah alih simpati kepada penganjur perhimpunan, kata Nik Nazmi

Defensif isu sampah alih simpati kepada penganjur perhimpunan, kata Nik Nazmi

Ahli Parlimen Setiawangsa gesa kerajaan jadikan kritikan sebagai pencetus selesai masalah rakyat, bukan reaksi defensif semata-mata.

HIMPUNAN TURUN ANWAR
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keterbukaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap penganjuran pembangkang harus dihargai.
PETALING JAYA:
Reaksi defensif seperti memperbesarkan kutipan sampah selepas perhimpunan pembangkang, Sabtu lalu mungkin kelihatan remeh namun boleh dilihat sebagai memperlekeh keresahan rakyat, kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam hantaran di aplikasi X, wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu berkata reaksi terhadap penganjuran perhimpunan di ibu negara yang menurut polis dihadiri kira-kira 18,000 berkenaan perlu dilakukan secara berhati-hati.

Bekas naib presiden PKR itu juga menggesa kerajaan menjadikan kritikan sebagai pencetus untuk menyelesaikan kepada isu rakyat seperti kos sara hidup, keadilan sosial dan masa depan, bukan dengan reaksi definsif semata-mata.

nik nazmi
Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Tindakan membesarkan isu seperti jumlah sampah dikutip mungkin kelihatan remeh, tetapi boleh dilihat sebagai memperlekeh keresahan rakyat malah memberi mesej perkauman secara tersirat.

“Ini bukan niatnya, tetapi politik adalah tentang persepsi. Isu ini akan memberi ruang simpati kepada penganjur dan mengalihkan fokus keterbukaan kerajaan dan kelemahan hujah pembangkang,” kata bekas menteri itu yang turut menghargai keterbukaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim

Dalam hantaran itu, bekas naib presiden PKR terbabit tidak menamakan wakil dari kerajaan yang membangkitkan isu sampah pada perhimpunan pembangkang berkenaan.

Namun, media melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip 20 tan sampah selepas penganjuran perhimpunan terbabit.

Dalam hantarannya, Nik Nazmi turut membidas tindakan Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail dari PAS yang memimpin bacaan Qunut Nazilah untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan hari ini memusuhi Islam.

“Perbezaan politik tidak wajar disalut dengan retorik kebencian agama. Kita tidak lupa bahawa Pas pernah suatu ketika dulu mendoakan kehancuran lawan politik mereka, termasuk Dr Mahathir Mohamad, yang kini berdiri bersama mereka.

“Sebelum ini ketika bersama bukan sahaja PKR malah DAP yang kini dilabel musuh umat Islam, pelbagai dalil diberi untuk menyokong keputusan politik mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.