Pembangkang dakwa Nga tipu berkait sampah 20 tan

Pembangkang dakwa Nga tipu berkait sampah 20 tan

Ahli Parlimen pembangkang minta Nga Kor Ming beri penjelasan berkait kenyataan 20 tan sampah dikutip selepas penganjuran himpunan 'Turun Anwar'.

Awang Hashim bangun mencelah dalam sesi jawab lisan meminta Nga Kor Ming beri penjelasan dan menunjukkan bukti kenyataan dikeluarkan berkait sampah 20 tan.
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat kecoh seketika apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semalam mengenai 20 tan sampah dikutip selepas himpunan ‘Turun Anwar’.

Awang Hashim (PN-Pendang) yang bangun mencelah dalam sesi jawab lisan meminta Nga memberi penjelasan dan menunjukkan bukti kenyataan dikeluarkan itu.

Awang turut berkata, sangat mustahil jika peserta hadir yang kebanyakannya hanya membawa sebotol air mineral boleh menyebabkan sehingga 20 tan sampah.

“Tunjuk fakta 20 tan sampah. Baru saya tak kata penipu,” katanya.

Nga kemudian mempertahankan kenyataan itu dan berkata fakta diterima daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Beliau berkata, kerajaan mengalukan perhimpunan secara aman tetapi turut menegur supaya peserta menjaga kebersihan.

“Saya tegur sikap pengotor. Siapa makan cili rasa pedas. Saya tak tuduh (Pendang) buang sampah.

“Kita tak nafikan ada pasukan unit amal PAS bersihkan sampah. Saya ucap terima kasih. Namun, 20 tan sampah bersepah di sekitar (ibu negara) seperti Sogo dan Dataran Merdeka,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang seperti Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) dan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) turut bangun dan tidak bersetuju kenyataan Nga.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Alice Lau meneruskan sesi jawab lisan dan meminta Awang tidak mengganggu Nga untuk menjawab soalan diajukan kepada menteri tersebut.

Semalam, media melaporkan Nga berkata Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip 20 tan sampah selepas penganjuran himpunan ‘Turun Anwar’ di beberapa lokasi sekitar ibu negara, Sabtu lalu.

Nga berkata, kerja pembersihan dilakukan hingga 3.30 pagi semalam bagi memastikan kawasan terjejas kembali bersih.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, dalam kenyataan berkata berdasarkan pemantauan jumlah kehadiran peserta dianggarkan sekitar 18,000 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.