Rakyat berdisiplin urus sampah bantu banjir surut, titah Raja Muda Perlis

Rakyat berdisiplin urus sampah bantu banjir surut, titah Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah isu sampah antara cabaran utama setiap kali banjir.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah rakyat semakin berdisiplin menguruskan pembuangan sampah secara tidak langsung membantu mempercepatkan proses air surut ketika banjir kerana sistem saliran tidak tersumbat.

Baginda bertitah, isu sampah antara cabaran utama setiap kali banjir dan kali ini ia dilihat kurang menimbulkan kesukaran kerana rakyat Perlis mulai proaktif dalam menguruskan pembuangan sampah harian.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kerjasama pelbagai agensi dalam menyelenggara sistem saliran dalaman, jalan, pertanian, kampung dan sungai turut membantu mempercepatkan proses air surut.

“Tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri segera membantu mengepam air keluar dari kawasan rendah turut membantu menyegerakan proses air surut,” titah baginda selepas berkenan berangkat meninjau beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu baru-baru ini.

“Usaha Majlis Perbandaran Kangar (MPK) membantu proses pembersihan pasca banjir dan membersihkan laluan serta sekatan saliran longkang di taman perumahan dilihat inisiatif tambahan yang membantu mempercepatkan proses pembersihan.

Antara PPS disantuni baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan dua puteri, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail serta Sharifah Farah Adriana Jamalullail, adalah PPS Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, SK Guar Nangka, SK Batu Bertangkup, SK Bukit Keteri, SK Beseri, SK Behor Empiang dan PPS Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis.

Lawatan ini menzahirkan keprihatinan dan komitmen berterusan institusi diraja Perlis dalam memastikan kebajikan mangsa banjir sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa, yang turut mengiringi baginda sepanjang lawatan itu menasihatkan mangsa banjir segera mendaftar dalam Aplikasi MyIBJKM untuk proses pengurusan kendiri sebelum, semasa dan selepas bencana.

“Apabila anda log masuk ke Aplikasi MyIBJKM, anda boleh mendaftar butiran peribadi diri dan ahli keluarga, proses daftar masuk dan keluar PPS, menyemak lokasi PPS terdekat serta melihat butiran daftar masuk ke PPS.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.