
Mereka akan menyelam untuk meninjau dan mengenal pasti kawasan perlu dibersihkan manakala keesokannya menyelam dengan segala kelengkapan untuk mengutip pelbagai jenis debris atau sampah-sarap yang tersangkut di dasar laut.
Penyelam sukarelawan termasuk sembilan wanita mengambil bahagian dalam program International Diving against Debris (DAD) 2025 di pulau peranginan terkenal dalam kalangan pelancong itu dan penyelam dari seluruh dunia.
Program di luar musim tengkujuh anjuran Black Eye Scuba Team (Best) itu mendapat kerjasama Pejabat Daerah Besut dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi.
Ia diiktiraf Padi Aware Foundation, badan angtarabangsa menyelia kegiatan DAD. Program dirasmikan Ahad ini turut melibatkan penyertaan kira-kira 100 sukarelawan pelajar, nelayan, pencinta alam dan pelancong membersihkan pantai di pulau itu serentak, ketika penyelam sukarelawan bertungkus-lumus mengeluarkan debris dari dasar laut.
Ini adalah fasa ketiga program DAD sejak 2023 ditaja oleh syarikat pengurusan aset, Kenanga Investors Berhad yang komited memperkasa usaha pemuliharaan alam sekitar.
Program ini selaras matlamat pembangunan mampan (SDG) 13 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menangani isu perubahan iklim serta SDG 14 untuk mengurangkan pencemaran marin serta melindungi ekosistem marin yang sihat. Dalam program tahun lalu, penyelam menemui pukat tunda sepajang 9m yang tersangkut di dasar laut.

Tanggungjawab terhadap laut
Peserta, Iva Anis, 42, tidak sabar menyelam buat kali ketiga berturut-turut dalam program DAD kali ini.
Iva yang akan menyelam bersama suaminya berkata sambil beriadah dengan hobi itu, dia dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap kebersihan laut.
“Saya berasa tenang ketika berada di dasar laut. Dalam program DAD ini, sambil menyelam minum air. Sambil menikmati keindahan laut, saya membantu membersihkan dasar laut ini,” katanya.
Iva sedih melihat keadaan dasar laut yang kotor akibat sampah-sarap seperti kayu, kotak ikan, plastik, botol dan sebagainya yang mencemarkan suasana. Pastinya, pencemaran berpunca daripada sikap manusia yang membuang sampah-sarap di sungai dan di laut sekali gus menjejaskan pembiakan ikan yang menjadi sumber pendapatan nelayan.

Azlinda Aditiyawarman, 41, yang mendapat lesen menyelam sejak 2010 berkata akan menggunakan sepenuhnya peluang menyertai program DAD ini, selepas gagal berbuat demikian dalam dua program lalu kerana sibuk dengan tugas.
Katanya, melakukan kerja di bawah laut memerlukan kerjasama rapat sesama sukarelawan. Selain menjalankan tugas menaikkan sampah sarap, setiap mereka perlu menjaga keselamatan sesama sendiri.
“Mengikut peraturan keselamatan, kita perlu berkomunikasi dengan bahasa isyarat dan tidak boleh membiarkan kawan kita bersendirian. Di dasar laut, kami saling bantu-membantu,” katanya.
Azlinda yang mengaku ketagih menyelam berkata penyertaannya dalam program DAD adalah sumbangan kepada alam sekitar khasnya untuk menjaga kebersihan laut.
Peluang berbakti
Ramley Atan, 35, yang menyertai program ini buat kali kedua berkata menyelam sambil berbakti kepada alam sekitar, khasnya kepada laut memberi kepuasan kepadanya.
Walaupun menyelam boleh menyebabkannya khayal ketika melihat keindahan dan hidupan laut yang berwarna-warni, setiap penyelam sukarelawan sentiasa menjaga keselamatan diri dan rakan. Mereka sentiasa tolong-menolong ketika mengumpul debris ke dalam karung khas sebelum dibawa naik selepas kerja pembersihan selesai.

Muhammad Yusri Ahmad Jalaluddin, 33, yang menyertai program ini buat kali kedua berkata kerja membersihkan pencemaran di dasar laut hanya boleh menjadi kenyataan melalui kerjasama pelbagai pihak berkaitan.
“Mustahil laut boleh dibersihkan sepenuhnya. Namun, sebagai penyelam sukarelawan, kami sedia bekerja membantu mengikut kemampuan untuk menaikkan sampah ke daratan. Tetapi, inisiatif menganjurkannya perlu melibatkan penyertaan pihak bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan marin.
“Program DAD memberi peluang kepada saya berbakti khasnya kepada laut dan amnya kepada masyarakat,” katanya.
Beliau sedih melihat keadaan dasar laut yang dicemari pelbagai sampah-sarap yang menjijikkan dan berharap lebih banyak program dianjurkan untuk membersihkan laut.
Menerusi program itu, setiap debris yang dikutip akan diasing, ditimbang dan direkodkan, kemudian data mengenainya dihantar ke PBB melalui Padi Aware Foundation, selain untuk kegunaan Taman Laut, Jabatan Perikanan.
Dalam program tiga hari itu, sukarelawan laut dan darat akan berkunjung ke Sekolah Kebangsaan Kampung Nelayan, Pulau Perhentian, menjalankan program santai bersama murid sekolah berkenaan. Sambil mendidik semangat kesukarelawanan, murid dan guru juga akan diberi taklimat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan laut.