Pelatih wanita selamat, pesawat ringan tergelincir di Melaka

Pelatih wanita selamat, pesawat ringan tergelincir di Melaka

Kejadian itu berlaku ketika latihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam.

Pelatih berusia 23 tahun dihantar ke Hospital Melaka akibat sakit di bahagian dada kesan hentakan. (Gambar PDRM)
MELAKA:
Seorang pelatih yang sedang menjalani latihan penerbangan berdepan detik cemas apabila pesawat ringan dipandunya hilang kawalan semasa mendarat.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit, berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar 12.16 tengah hari tadi, di landasan RWY 21 Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.

“Pesawat itu dikendalikan oleh pelatih wanita berusia 23 tahun dan melibatkan sebuah pesawat International Aero Training Academy Sdn Bhd (IATAC) jenis Piper 28, dalam latihan penerbangan sebelum ia hilang kawalan semasa mendarat di RWY 21.

“Tindakan telah diambil di Post 1 untuk ketibaan ambulans,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pesawat tersebut berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi pada 12.50 tengah hari, manakala juruterbang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali hanya merasa sakit di bahagian dada akibat kesan hentakan dan dihantar ke Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, belum ada laporan secara rasmi dibuat kepada pihak polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.