
Mayat itu ditemui selepas pihak berkuasa meluaskan radius pencarian di sekitar lokasi nahas berhampiran Bandar Adamuz di Wilayah Cordoba.
Kira-kira 200 ejen Pengawal Awam terbabit operasi itu dengan bantuan anjing pengesan, dron dan peralatan inframerah.
Kemalangan itu berlaku Ahad lalu apabila sebuah kereta api membawa 317 penumpang bagi laluan Malaga-Madrid tergelincir atas sebab belum dikenal pasti berhampiran Adamuz, kira-kira 20km dari Cordoba.
Kereta api tergelincir itu kemudian melanggar sebuah kereta api berkelajuan tinggi yang dalam perjalanan dari Madrid ke Huelva di landasan bersebelahan menyebabkan kereta api kedua turut tergelincir.
Setakat ini, 43 mangsa sudah dikenal pasti, termasuk 40 warga Sepanyol, masing-masing seorang warga Rusia, Jerman dan Maghribi. Kebanyakan mangsa merupakan penumpang kereta api menuju ke Huelva.
Pihak berkuasa pada Rabu mengumumkan majlis pengebumian negara bagi mangsa nahas akan diadakan 31 Jan ini. Siasatan ke atas punca nahas masih diteruskan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kereta api penumpang bagi laluan Cartagena-Los Nietos merempuh sebuah kren di Alumbres dekat bandar tenggara Cartagena pada Khamis menyebabkan beberapa orang cedera ringan, menurut perkhidmatan kecemasan.
Ini nahas kereta api keempat di Sepanyol dalam tempoh kurang seminggu.
Terdahulu, dua insiden rel dilaporkan berlaku di wilayah timur laut Catalonia pada Selasa lalu.
Seorang pemandu maut dan sekurang-kurangnya 37 penumpang cedera apabila sebuah tembok runtuh lalu menghempap kereta api komuter dekat Bandar Gelida.
Dalam kejadian berasingan berhampiran Blanes, sebuah kereta api tergelincir akibat runtuhan batu.
Pihak berkuasa tempatan berkata, kedua-dua kemalangan itu mungkin berpunca daripada hujan lebat melanda sebahagian wilayah berkenaan sejak beberapa hari ini.