Pencarian pesawat MH370 disambung 30 Dis

Pencarian pesawat MH370 disambung 30 Dis

Kementerian Pengangkutan berkata syarikat Ocean Infinity akan menjalankan pencarian dasar laut selama 55 hari di selatan Lautan Hindi.

Pesawat MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 2014 ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 oleh syarikat berpangkalan di UK, Ocean Infinity, akan disambung semula pada 30 Dis.

Kementerian Pengangkutan berkata, Ocean Infinity akan menjalankan operasi dasar laut secara berselang-seli selama 55 hari.

“Pencarian akan dijalankan di kawasan sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menemukan pesawat, selaras perjanjian perkhidmatan dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity pada 25 Mac 2025.

“Perkembangan terbaru ini menegaskan komitmen kerajaan Malaysia untuk memberikan kesimpulan sewajarnya kepada keluarga yang terjejas oleh tragedi ini,” katanya.

April lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pencarian digantung sementara akibat cuaca buruk.

Ocean Infinity mencadangkan pencarian baru di kawasan seluas 15,000km persegi di selatan Lautan Hindi, berdasarkan analisis data terkini.

Pencarian itu berasaskan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’, yang mana Ocean Infinity akan menerima USD70 juta jika serpihan pesawat berjaya ditemui.

Kehilangan MH370 kekal sebagai misteri penerbangan terbesar di dunia. Pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014 dengan 239 penumpang termasuk anak kapal ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.