Pesawat JetBlue elak langgar jet Tentera Udara AS

Pesawat JetBlue elak langgar jet Tentera Udara AS

Pesawat penumpang dalam perjalanan ke New York mengelak sebuah jet tentera tanpa transponder yang memasuki laluan penerbangannya dekat Venezuela.

Juruterbang JetBlue dalam rakaman berkata pesawat Tentera Udara AS itu berada di ketinggian sama pada jarak hanya beberapa batu daripada pesawat mereka. (Gambar JetBlue)
WASHINGTON:
Sebuah pesawat penumpang JetBlue dalam perjalanan ke New York bertindak mengelak sebuah jet Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dekat Venezuela, kata seorang juruterbang dalam rakaman kawalan trafik udara.

Penerbangan JetBlue 1112 yang berlepas dari Curacao dan sedang terbang kira-kira 40 batu (64km) dari pantai Venezuela dilaporkan terserempak jet tentera udara itu yang tidak mengaktifkan transpondernya, menurut rakaman daripada liveatc.net.

Juruterbang JetBlue dalam rakaman itu berkata, jet tentera udara terbabit berada di ketinggian sama pada jarak hanya beberapa batu daripada pesawat mereka.

“Mereka melintas di laluan penerbangan kami…Mereka tidak mengaktifkan transponder. Ini memang keterlaluan.

“Kami hampir berlanggar di udara tadi,” kata juruterbang JetBlue sambil menambah jet tentera udara itu kemudian memasuki ruang udara Venezuela.

Jurucakap JetBlue pada Isnin berkata, keselamatan merupakan keutamaan syarikat itu.

“Kru kami dilatih dengan prosedur betul untuk pelbagai situasi penerbangan dan kami menghargai tindakan pantas mereka melaporkan keadaan ini kepada pasukan kepimpinan kami.

“Kami telah melaporkan insiden ini kepada pihak berkuasa persekutuan dan akan bekerjasama dalam sebarang siasatan.”

Southern Command AS dalam kenyataan pada Isnin berkata, ia sedang meneliti insiden itu.

“Kru udara kami profesional terlatih yang bertindak mengikut prosedur dan mematuhi keperluan ruang udara berkaitan. Keselamatan kekal sebagai keutamaan dan kami sedang menggunakan saluran sesuai untuk menilai fakta berkaitan situasi ini.”

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS belum mengulas insiden membabitkan JetBlue itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.