21 maut tren berkelajuan tinggi tergelincir di Sepanyol

21 maut tren berkelajuan tinggi tergelincir di Sepanyol

Seramai 25 lagi parah dan kira-kira 100 penumpang cedera ringan selepas dua kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan bertembung dekat bandar Cordoba.

Ambulans tiba di Stesen Atocha di Madrid, Sepanyol selepas dua kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan bertembung pada Ahad.  (Gambar EPA Images)
MADRID:
Sekurang-kurangnya 21 maut, manakala 25 lagi parah selepas dua kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan bertembung berhampiran bandar Cordoba di selatan Sepanyol pada Ahad, menurut pihak berkuasa.

Kira-kira 100 penumpang turut dilaporkan cedera ringan, menurut agensi berita Xinhua.

Kemalangan itu berlaku pada 7.45 malam waktu tempatan apabila sebuah kereta api membawa 317 penumpang bagi laluan Malaga-Madrid terkeluar dari landasan atas sebab belum diketahui berhampiran Amaduz, kira-kira 20km dari Cordoba, kata pihak berkuasa Sepanyol.

Kereta api tergelincir itu merempuh sebuah lagi kereta api berkelajuan tinggi yang dalam perjalanan di landasan bersebelahan dari Madrid ke Huelva, menyebabkan kereta api kedua berkenaan turut terkeluar dari landasan.

Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente, menyifatkan nahas itu “impak dahsyat” dan dua gerabak terakhir kereta api Malaga-Madrid tergelincir serta merempuh dua gerabak pertama kereta api datang dari arah bertentangan sehingga menyebabkannya terkeluar dari landasan.

Pasukan perkhidmatan kecemasan dari wilayah Andalusia dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala penduduk setempat turut tampil membantu memindahkan individu cedera ringan ke sebuah pusat sukan berhampiran untuk bantuan awal.

Unit Kecemasan Tentera Sepanyol juga digerakkan bagi membantu kerja menyelamat. Perkhidmatan kereta api di laluan terjejas digantung sehingga Selasa, kata pihak berkuasa.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, melalui media sosial memaklumkan beliau dan kerajaannya sedang memantau rapat kemalangan itu. Keluarga Diraja Sepanyol turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Operasi menyelamat masih diteruskan lewat Ahad ketika pegawai memberi amaran jumlah mangsa korban dan cedera mungkin meningkat dalam beberapa jam akan datang.

Pengendali infrastruktur rel, Adif memaklumkan pihaknya membuka kawasan khas di Stesen Atocha di Madrid, serta Malaga dan Huelva untuk memberi maklumat kepada waris penumpang terjejas. Satu talian telefon khas turut disediakan.

Kemalangan kereta api terburuk di Sepanyol berlaku pada Julai 2013, apabila 79 orang terkorban selepas sebuah kereta api berkelajuan tinggi tergelincir ketika memasuki bandar Santiago de Compostela akibat kelajuan berlebihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.