Kajian undang-undang isu 3R dibentang di Kabinet minggu ini

Kajian undang-undang isu 3R dibentang di Kabinet minggu ini

Pembentangan kajian fasa pertama itu akan dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang ketetapan dibuat, kata Azalina Othman Said.

Azalina Othman Said berkata kerajaan perlu melihat secara menyeluruh jika mahu mewujudkan undang-undang baharu berkaitan 3R. (Gambar Bernama)
KEPALA BATAS:
Perbincangan dan kajian mengenai undang-undang berkaitan isu 3R (agama, raja dan kaum), termasuk sama ada akta baharu diperkenal, akan dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pembentangan kajian fasa pertama itu akan dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang ketetapan dibuat.

“Menerusi sesi libat urus yang terdiri daripada perbincangan kumpulan fokus dan dialog perundangan 3R baru-baru ini, ia bukan membincangkan undang-undang baharu … saya jemput Badan Peguam dan pihak berkepentingan untuk bincang hala tuju, sebab ada yang berpendapat undang-undang sedia ada mencukupi.

“Namun ada juga kata perlu ada cara undang-undang lain seperti di Singapura dan Australia. Insya-Allah, pada mesyuarat (Jemaah Menteri) minggu ini saya akan bentangkan daripada kesimpulan perbincangan yang telah dijalankan.

“Itu merupakan fasa pertama … perlukan banyak lagi perbincangan dengan pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Komunikasi Media Madani: Komunikasi Strategik dan Digital.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berdasarkan aspek sivil yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuaratnya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, pihaknya perlu melihat secara menyeluruh termasuk aspek perpaduan dan jangka panjang termasuk elemen dalam politik yang menggunakan 3R jika mahu mewujudkan undang-undang baharu berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.