3,300 unit kuarters polis P Pinang dibaiki segera

3,300 unit kuarters polis P Pinang dibaiki segera

Pembaikan segera itu akan dilaksanakan menerusi peruntukan tambahan diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kuarters anggota dan pegawai yang lama dan usang akan diberi fokus untuk pembaikan segera, kata Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin. (Gambar Fecebook)
GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang mengenal pasti 3,300 unit kuarters anggota dan pegawai akan dilaksanakan pembaikan segera menerusi peruntukan tambahan diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin, berkata proses naik taraf kuarters itu secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan polis kepada masyarakat selain ia turut memberi keselesaan kepada anggota dan keluarga.

“Kami akan beri fokus kepada kuarters yang lama dan usang serta pejabat perlu dibaiki. Tempat kerja dan kuarters selesa akan dapat memberi semangat lebih tinggi kepada anggota dan pegawai dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

“Ketika ini pembinaan IPK Pulau Pinang yang baharu juga sedang berjalan dengan pelbagai kemudahan termasuk kuarters untuk anggota dan pegawai,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Khaw berkata, peruntukan tambahan itu juga jelas menunjukkan keprihatinan perdana menteri terhadap kebajikan anggota polis.

“Saya bagi pihak kontinjen polis Pulau Pinang mengucapkan terima kasih atas keprihatinan perdana menteri kita yang menitikberatkan kebajikan dan masalah kuarters yang terlalu lama dan perlu diperbaiki segera.

“Kontinjen polis Pulau Pinang juga akan menerima peruntukan itu untuk pembaikan segera dan kami masih menunggu pengagihan dari Kementerian Dalam Negeri kepada Bukit Aman termasuk untuk negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, perdana menteri mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk selenggara kemudahan agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) antaranya polis.

Kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera (ATM) seluruh negara.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga ATM dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi bawah KDN termasuk polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.