PRN: PAS tapis 300 nama, tolak calon ‘berdosa besar’

PRN: PAS tapis 300 nama, tolak calon ‘berdosa besar’

Mursyidul am PAS berkata individu mempunyai masalah moral tidak layak menjadi calon parti itu.

PAS akan bertanding di 126 kerusi pada PRN di enam negeri bulan depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Syura PAS yang menapis lebih 300 nama dicadangkan sebagai calon PRN telah menolak individu mempunyai masalah moral dan “berdosa besar”, kata Mursyidul Amnya Hashim Jasin.

Hashim berkata tapisan pada Jumaat lalu itu dibuat dengan teliti untuk memastikan 126 calon bertanding bawah logo bulan parti dan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri Ogos depan benar-benar layak mengikut syarat.

“Calon ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan terutamanya berkaitan dengan akhlak dan moral.

“Antara syarat melepasi tapisan Majlis Syura ialah seseorang itu mesti mempunyai moral dan akhlak baik, tidak meninggalkan tanggungjawab fardu ain dan tidak melakukan dosa besar,” katanya kepada FMT.

“Dosa besar dimaksudkan itu kesalahan besar dari segi Islam.”

Hashim berkata nama melepasi tapisan itu akan diserahkan semula kepada PAS negeri untuk ditentukan kerusi bakal ditandingi.

FMT sebelum ini melaporkan Nik Mohamad Abduh, anak kepada bekas menteri besar Nik Abdul Nik Mat antara yang melepasi tapisan Majlis Syura untuk bertanding di Kelantan.

Perkembangan itu menolak dakwaan bahawa PAS cuba menafikan Nik Abduh peluang bertanding pilihan raya dan mematikan legasi Nik Aziz yang meninggal dunia pada 12 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.