
Ketua Polis Alor Gajah, Arshad Abu, berkata pada 24 April lalu, mangsa berusia 46 tahun yang ketika itu berada di rumah, terlihat iklan pelaburan syarikat menjanjikan pulangan 20% setiap minggu.
“Pengadu berhubung dengan suspek yang mengaku namanya ‘Annie’ di talian WhatsApp sebelum membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM285,000 ke dalam tiga akaun bank berlainan.
“Mangsa juga telah log masuk ke laman web suspek dan terperdaya dengan tawaran yang menunjukkan telah terima 20% untuk minggu pertama keuntungan pelaburan dan menyebabkan pengadu menambah pelaburan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, pengadu kemudian menyedari laman web tersebut tidak boleh diakses dan membuat laporan polis selepas tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan malah mendapati wang modalnya juga lesap.
Sementara itu, Arshad berkata dalam kes berlainan, seorang pembantu makmal hospital mengalami kerugian RM120,000 selepas ditipu pelaburan tidak wujud.
Beliau berkata, mangsa seorang wanita berusia 29 tahun berjumpa seorang lelaki menerusi Facebook pada November 2020 untuk memulakan urusan dalam skim pelaburan menjanjikan pulangan keuntungan kepadanya.
“Pengadu yakin dan percaya untuk menyertai pelaburan tersebut, kemudian pada 19 Nov 2020, mangsa memasukkan wang berjumlah RM85,000 ke dalam akaun bank suspek di sebuah bank di Masjid Tanah kemudian memasukkan pula wang berjumlah RM35,000 ke dalam akaun seorang lelaki lain di sebuah bank di Alor Gajah.
“Wanita itu turut dijanjikan keuntungan 5% setiap bulan iaitu RM4,038 namun pengadu baru mendapat pulangan lebih kurang RM12,114 untuk tempoh tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata, pengadu mendakwa tidak menerima keuntungan pelaburan dijanjikan selepas itu dan bertindak membuat laporan polis.
Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.