PRN: PAS tanding 27, Bersatu dapat 5 di Terengganu, kata Takiyuddin

PRN: PAS tanding 27, Bersatu dapat 5 di Terengganu, kata Takiyuddin

Setiausaha agung berkata PAS akan mengekalkan 70% muka lama dan 30% muka baharu termasuk calon wanita.

Takiyuddin Hassan berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat menilai jika timbul persepsi PAS ‘parti rasuah’ kerana tidak merayu keputusan pembatalan kemenangan parti itu di Parlimen Kuala Terengganu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS tanding di 85% kawasan melibatkan 27 kerusi pada PRN Terengganu, manakala baki lima kerusi lagi diperuntukan kepada Bersatu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memaklumkan parti akan mengekalkan majoriti penyandang kerusi DUN dalam PRN selepas mengambil kira prestasi ditunjukkan, selain turut mengetengahkan calon wanita.

“Setiap DUN ada dua atau tiga calon yang telah melalui tapisan Majlis Syura Ulama dan akan dimuktamad sebelum hari penamaan calon.

“Calon nanti sebahagian besar muka lama dan akan ada muka baharu, mungkin 70% muka lama dan 30% muka baharu termasuk calon wanita, malah bulan sahaja Terengganu, semua negeri akan ada calon wanita,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PAS Pusat di Terengganu.

Ditanya alasan PAS tidak merayu keputusan Mahkamah Terengganu membatalkan kemenangan PAS di Parlimen Kuala Terengganu, Takiyuddin berkata, banyak faktor dipertimbang antaranya tidak mahu rakyat di kawasan itu terabai kerana tiada wakil rakyat sepanjang tempoh rayuan berjalan.

Katanya, walaupun mahkamah membatalkan kemenangan PAS di kerusi Kuala Terengganu, penyandangnya Ahmad Amzad Hashim masih boleh bertanding semula.

“Kita mendapat pengesahan keputusan mahkamah itu adalah sekadar keputusan membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu, tetapi calon memenangi pilihan raya itu boleh bertanding semula. Kita tak ada masalah kemungkinan besar calon sama akan diletakkan,” katanya sambil optimis PAS mampu mengekalkan kemenangan di kawasan tersebut.

Ketika ditanya PAS akan dilabel “parti rasuah” kerana memutuskan tidak mahu mengemukakan rayuan, Takiyuddin menyerah kepada rakyat menilai.

“Kita serah kepada rakyat, kita boleh beza pandangan, kalau kes di Parlimen Marang dan Kuala Terengganu faktanya sama dan undang-undang sama tapi keputusan berbeza di pihak hakim pilihan raya,” katanya.

Takiyuddin juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbang untuk mengadakan PRK Kuala Terengganu dan PRN negeri serentak 12 Ogos.

Baru-baru ini, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Amzad dengan alasan berlaku kes sogokan.

Pada 3 Jan, Umno Terengganu memfailkan petisyen membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia, dan i-Siswa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.