Dakwaan serbu masjid, Suhaizan gesa Takiyuddin dirujuk jawatankuasa hak dan kebebasan

Dakwaan serbu masjid, Suhaizan gesa Takiyuddin dirujuk jawatankuasa hak dan kebebasan

Ahli Parlimen Pulai itu berkata kenyataan Takiyuddin Hassan tidak wajar, berasaskan maklumat yang tidak disahkan dan tidak tepat.

Suhaizan Kaiat (kiri) menggesa Takiyuddin Hassan menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul merujuk Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan ke jawatankuasa hak dan kebebasan susulan kenyataannya mengenai latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sebuah masjid di Terengganu.

Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat, berkata kenyataan Takiyuddin ketika perbahasan Belanjawan 2026 pada 22 Okt lalu adalah tidak wajar, berasaskan maklumat yang tidak dapat disahkan dan tidak tepat.

Dalam ucapannya, Takiyuddin mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 lelaki menaiki lima kereta ‘menyerbu’ Masjid Rusila bulan lalu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau mendakwa kumpulan itu mengaku sebagai anggota polis, memakai kasut di dalam masjid dan memasuki kawasan solat wanita.

Takiyuddin mendakwa perbuatan itu dilakukan tanpa kebenaran pihak masjid dan beliau turut membangkitkan persoalan sama ada kejadian itu mengulangi tragedi Memali pada 1985.

Suhaizan berkata Maritim Malaysia menjelaskan bahawa latihan itu merupakan sebahagian daripada kursus komando yang dijalankan dari Ogos hingga November, dan tidak melibatkan sebarang senjata atau peralatan taktikal.

Tambahnya, beliau menulis surat kepada Johari untuk menjelaskan bahawa tuduhan terhadap Maritim Malaysia adalah bersifat fitnah dan menjejaskan imej agensi itu, serta mendesak Takiyuddin menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

“Ini bukan sekadar soal fakta. Ia berkaitan maruah dewan yang mulia, kebenaran dan kepercayaan rakyat terhadap agensi penguat kuasa kita,” katanya.

FMT menghubungi Takiyuddin dan Johari untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.