
Zuwati Hasim dari Universiti Malaya berkata pendekatan PdP tidak boleh secara “one-size-fits-all” (pukul rata), sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada pentaksiran bilik darjah (PBD) agar kelemahan setiap murid dapat ditambah baik.
“Perlu lebih peka kepada menepati keperluan dan perbezaan pembelajaran murid,” katanya kepada FMT, mengulas analisis SPM 2022 oleh NGO Untuk Malaysia yang mendapati seramai 89,752 calon gagal subjek Matematik, sementara 52,674 lagi tak lulus Bahasa Inggeris.
Zuwati berkata terdapat juga guru subjek teras yang kurang arif tentang amalan PBD dan penilaian formatif yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan.
Jelasnya, tujuan PBD bukan pemarkahan semata-mata tetapi juga mengenal pasti kelemahan PdP di bilik darjah untuk penambahbaikan.
“KPM dan pembuat dasar perlu melihat kembali polisi sedia ada serta perkara yang menjadi penyumbang kepada wujudnya jurang dalam pendidikan antara bandar dan luar bandar, serta kelompok miskin bandar.”
Pembangunan pendidikan juga harus mengambil kira bahan mengajar dan kepakaran tenaga pengajar, untuk disasarkan mengikut mata pelajaran dan keperluan sesebuah kawasan, tambahnya.
“Aktifkan peranan penilaian pengajaran melalui sistem pemantauan oleh pengetua dan penaziran bagi memastikan PdP berlaku seperti yang dikehendaki.
“Guru-guru perlu diberikan latihan bukan sahaja dari sudut pengetahuan tetapi dari sudut etika, integriti, dan profesionalisme demi menjaga kualiti dan memartabatkan pendidikan negara,” katanya.
Sementara itu, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat negara akan berdepan sumber manusia yang tidak berdaya saing dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, sekiranya sistem pendidikan tidak dirombak.
Beliau merujuk jumlah calon SPM mendapat keputusan D,E, dan Gagal bagi subjek bahasa Inggeris dan matematik, dua subjek teras yang sangat penting untuk alam pekerjaan.
“Bagaimana kita nak bina sebuah negara berteknologi tinggi, berinovasi, dan moden jika setiap tahun separuh daripada calon SPM gagal dalam subjek itu?
“Kalau kita tak lakukan sesuatu pada masa ini, kesannya kita akan lihat dalam tempoh 10 – 20 tahun akan datang.
“Kalau di Tingkatan 1 kita tak betulkan minat mereka kepada sains dan matematik dengan kaedah lebih menyeronokkan, kita akan dapat lihat bagaimana sumber manusia yang kita akan lahirkan melalui tindakan dari sekarang.”