Pengguna elektrik industri, komersial akan nikmati surcaj lebih rendah

Pengguna elektrik industri, komersial akan nikmati surcaj lebih rendah

Kerajaan akan menampung kos subsidi RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik baharu.

Pelarasan tarif elektrik akan dilaksanakan di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis, melibatkan pengguna domestik dan bukan domestik.
PETALING JAYA:
Pengguna elektrik bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri dan komersial akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen kepada 17 sen sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis.

“Ini bermaksud, pengguna bukan domestik MV dan HV ini akan menikmati penurunan bil elektrik di antara 28% hingga 35% sebulan,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang media.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik baharu itu.

“Ini bermakna hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik yang terbaru ini.

“Pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembentungan (pula) akan menikmati penurunan,” katanya.

Dalam tempoh pelarasan tarif elektrik itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah, iaitu 99% daripada pengguna domestik di Semenanjung, tidak akan mengalami kenaikan tarif.

Sementara itu, bagi pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (B dan D) dan pertanian spesifik (H, H1 dan H2) pula, seperti perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani dan penternak, surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Dalam pada itu, kategori baharu pengguna bukan domestik, iaitu operator air dan pembetungan negeri, akan menikmati penurunan kadar surcaj, daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

Nik Nazmi berkata, selaras dengan hasrat kerajaan supaya subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar bermula Julai 2023, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

“Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu 1% pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25%),” katanya.

“Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.